Hubungan China-Malaysia Jadi Persahabatan, Langkau Diplomatik Biasa – Anwar
HANGZHOU – Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan hubungan Malaysia-China kini melangkaui hubungan diplomatik biasa, sebaliknya berkembang sebagai persahabatan yang berteraskan kepercayaan dan keyakinan antara kedua-dua negara.
Perdana Menteri berkata asas tersebut menjadi antara faktor Malaysia memberi kepentingan besar kepada hubungan dengan China dan kepemimpinan Presiden Xi Jinping, termasuk dalam aspek pembangunan, tadbir urus serta usaha memperjuangkan kemakmuran bersama.
“Malaysia menghargai persahabatan terjalin dengan China, terutama apabila kedua-dua negara mempunyai banyak persamaan dalam pelbagai perkara.
“Hubungan ini melangkaui sekadar hubungan diplomatik biasa. Ia dibina atas kepercayaan dan keyakinan. Kita memerlukan rakan yang menghargai persahabatan,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai ucapan balas kepada ucapan alu-aluan Perdana Menteri China, Li Qiang sebelum mesyuarat dua hala kedua-dua pemimpin di Rumah Tetamu Negara, West Lake, di sini hari ini.
Pertemuan itu merupakan sebahagian daripada lawatan kerja tiga hari Anwar ke Shanghai dan Hangzhou yang berakhir hari ini.
Turut serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke serta Duta Malaysia ke China, Datuk Norman Muhamad.
Anwar berkata hubungan Malaysia-China juga sering menjadi perhatian pihak luar, termasuk berkaitan pendirian Malaysia terhadap China serta isu Laut China Selatan.
Katanya Malaysia memahami persoalan yang sering dibangkitkan berhubung hubungan kedua-dua negara, namun pendirian kerajaan sentiasa berasaskan kepentingan bersama serta hubungan persahabatan yang telah dibina sekian lama.
“Premier Li Qiang, terimalah dengan penuh ikhlas bahawa kami menghargai persahabatan ini dan melihat anda menghormati komitmen ini,” katanya.
Anwar berkata kehadirannya di Hangzhou bukan sekadar untuk membincangkan hubungan dua hala, sebaliknya memberi ruang kepada kedua-dua pemimpin bertukar pandangan mengenai isu yang lebih substantif.
Terdahulu, Li Qiang berkata terdapat ruang besar untuk Malaysia dan China memperkukuh kerjasama dalam bidang perdagangan digital, kemahiran vokasional serta sains dan teknologi.
Katanya kerjasama berkenaan mampu menyumbang kepada usaha memperkukuh hubungan Malaysia-China, khususnya dalam bidang sains dan teknologi.
Beliau turut menyentuh lawatan negara Presiden Xi Jinping ke Malaysia pada April lalu yang disifatkannya membuka tirai kepada fasa baharu hubungan China-Malaysia.
“Pihak China sentiasa meletakkan pembangunan hubungan dengan Malaysia sebagai hala tuju keutamaan dalam diplomasi kejiranan kami,” katanya.
