ISU TERKINI · POLITIK · HIBURAN · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK · HIBURAN · SANTAI

Malaysia

Awang Solahuddin Tarik Balik Kenyataan, Saman Fitnah Anwar Selesai Secara Baik

KUALA LUMPUR – Pertikaian antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Solahuddin Hashim berhubung saman fitnah berakhir secara baik selepas kedua-dua pihak mencapai persetujuan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Menerusi kenyataan awam yang dipersetujui bersama, Awang Solahuddin menarik balik kenyataan yang dibuat olehnya pada atau sekitar 21 Februari 2023 yang menjadi asas kepada tindakan saman berkenaan.

Beliau turut bersetuju untuk tidak mengulangi atau menerbitkan semula kenyataan sama atau kenyataan yang mempunyai maksud serupa pada masa hadapan.

Kes tersebut kemudiannya dibatalkan oleh Hakim Roslan Mat Nor tanpa perintah mengenai kos dan tanpa kebebasan untuk memfailkan semula.

Tarikh perbicaraan yang sebelum ini ditetapkan pada 26 hingga 29 Oktober 2026 turut dilapangkan.

Menurut kenyataan bersama, penyelesaian itu dicapai selepas kedua-dua pihak mengambil kira implikasi prosiding saman berkenaan, termasuk kos litigasi yang perlu ditanggung.

Kedua-dua pihak turut berpandangan terdapat perkara lain yang lebih besar dan penting untuk diberi keutamaan demi kepentingan rakyat serta negara.

Kes berkenaan bermula selepas Anwar memfailkan saman fitnah pada 3 Mac 2023 berhubung kenyataan Awang Solahuddin di lobi Parlimen pada 21 Februari tahun sama.

Anwar sebelum ini mendakwa kenyataan tersebut membawa maksud bahawa beliau menyalahgunakan kuasa sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dengan mencampuri serta memberi arahan kepada agensi penguatkuasaan dan pendakwaan bagi mencapai agenda politik peribadi.

Sumber: BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *