Undang Yang Empat, Tunku Besar Tampin Minta Pihak Luar Tidak Campur Urusan Takhta Negeri Sembilan
SEREMBAN : Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin meminta pihak luar, termasuk Perdana Menteri serta Jabatan Peguam Negara (AGC), supaya tidak mencampuri urusan pemerintahan dan takhta Negeri Sembilan.
Dalam kenyataan bersama, mereka mendakwa terdapat pihak tertentu yang cuba mencabuli prerogatif serta hak perlembagaan mereka sebagai pembesar adat.
Menurut mereka, kuasa memilih dan menurunkan Yang di-Pertuan Besar merupakan adat prerogatif yang turut termaktub dalam Perkara 7, 10 dan 11 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959.
Mereka turut menafikan dakwaan bahawa penurunan takhta Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dibuat oleh Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim bersama barisan Exco.
Sebaliknya, mereka mendakwa Menteri Besar dan Exco tidak mempunyai kuasa tersebut, sebaliknya hanya melaksanakan tugas perlembagaan berdasarkan ketetapan Undang Yang Empat di bawah Perkara 10 UUTKNS 1959.
Mereka juga mengingatkan Perdana Menteri dan AGC bahawa sebarang tindakan yang didakwa tidak berperlembagaan boleh menimbulkan persoalan berkaitan sumpah jawatan Perdana Menteri serta Perkara 71 Perlembagaan Persekutuan.
Dalam pada itu, mereka meminta semua pihak luar, khususnya parti politik pembangkang, supaya tidak mengambil kesempatan terhadap kemelut yang sedang berlaku atau mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan kerajaan negeri, institusi adat dan pemerintahan Negeri Sembilan.
Menurut mereka, amalan adat berkenaan telah berlangsung lebih 500 tahun dan mereka sebagai pembesar adat lebih memahami perkara yang berlaku dalam urusan pemerintahan negeri.
Mereka turut mendakwa tindakan Tuanku Muhriz mengarahkan pengumuman pemberhentian barisan Exco adalah tidak sah dan tidak berperlembagaan.
Mereka menyifatkan perkara itu sebagai sesuatu yang belum pernah berlaku dalam sejarah moden Negeri Sembilan serta mendakwa ia merupakan cubaan untuk menghalang Raja Pemerintah daripada menjalankan pemerintahan.
Foto/Sumber: Sinar Harian
