ISU TERKINI · POLITIK · HIBURAN · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK · HIBURAN · SANTAI

MalaysiaTerkini

Pengurus Pelaburan Rugi RM1.2 Juta, Terpedaya Panggilan Palsu Pihak Berkuasa

KOTA BHARU : Seorang pengurus pelaburan sebuah syarikat di Kelantan mengalami kerugian kira-kira RM1.2 juta selepas diperdaya sindiket penipuan menerusi panggilan telefon pada Julai lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, mangsa merupakan seorang ibu tunggal berusia lingkungan 50-an yang menerima panggilan daripada individu yang menyamar sebagai pihak berkuasa.

Suspek mendakwa mangsa terlibat dalam kes pengubahan wang haram sebelum mengarahkannya melakukan beberapa transaksi.

Kerana terlalu takut, mangsa mengikut arahan berkenaan sehingga mengeluarkan wang daripada akaun banknya, termasuk simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Mangsa turut menggadai serta menjual barang kemas miliknya yang keseluruhannya bernilai hampir RM500,000.

Menurut Mohd Yusoff, mangsa sebenarnya mengetahui dirinya tidak terbabit dalam kegiatan pengubahan wang haram.

Bagaimanapun, disebabkan terlalu takut, wanita berkenaan tidak memaklumkan perkara tersebut kepada ahli keluarga atau pihak polis.

Mangsa hanya membuat laporan polis kira-kira dua bulan selepas kesemua wangnya diserahkan kepada sindiket berkenaan.

Sindiket guna nombor telefon seolah-olah daripada polis

Lebih membimbangkan, sindiket terbabit dipercayai menggunakan aplikasi penyamaran atau spoofing bagi memaparkan nombor telefon yang kelihatan seolah-olah datang daripada pihak polis, termasuk nombor Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan.

Polis turut mengesan kira-kira 68 panggilan sehari yang menggunakan nombor IPK Kelantan, dan perkara itu kini dalam siasatan.

Mohd Yusoff menegaskan bahawa pihak polis atau agensi seperti Bank Negara Malaysia tidak akan menghubungi orang awam dan mengarahkan mereka mengeluarkan wang atau membuka akaun baharu.

Orang ramai yang menerima panggilan mencurigakan dinasihatkan supaya segera menamatkan panggilan dan membuat pengesahan melalui saluran rasmi agensi terbabit.

Polis Kelantan kini bekerjasama dengan Bukit Aman bagi mengesan individu yang dipercayai terlibat dalam sindiket tersebut.

Kes berkenaan antara yang mencatatkan jumlah kerugian individu terbesar di Kelantan setakat tahun ini.

Dalam pada itu, Polis Kelantan akan mempergiatkan kempen kesedaran menerusi media bagi membendung jenayah komersial yang terus menunjukkan peningkatan.

Sumber & Foto : BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *