Filem Tempatan Atasi Hollywood, Ekosistem Perfileman Di Bawah Kementerian Komunikasi Terus Mengukuh
KUALA LUMPUR – Ketika FINAS berharap sokongan terhadap industri perfileman diteruskan dalam Belanjawan 2027, prestasi industri tempatan sepanjang 2025 dan 2026 menunjukkan beberapa perkembangan ketara.
Antaranya, filem tempatan berjaya mencatat jumlah kemasukan penonton yang mengatasi filem Hollywood di pawagam Malaysia bagi tempoh Januari hingga Julai 2026.
Sebanyak 7.55 juta kemasukan penonton direkodkan untuk filem tempatan dalam tempoh tersebut, berbanding 6.94 juta bagi filem Hollywood.
Perbezaan kira-kira 610,000 penonton itu menunjukkan karya tempatan semakin mendapat tempat dalam kalangan penonton Malaysia.
Lima filem tempatan lepasi RM10 juta
Prestasi tersebut turut disokong oleh beberapa filem tempatan yang berjaya mencatat kutipan melebihi RM10 juta.
Antaranya Tarung: Unforgiven yang merekodkan RM23.59 juta, diikuti Polong RM14.98 juta, Libang Libu RM14.16 juta, Malaikat Malam RM12.23 juta dan Ah Beng vs Liang Po Po RM10.04 juta.
Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil sebelum ini memaklumkan kutipan filem tempatan di bawah Skim Wajib Tayang bagi 2026 sudah mencapai RM111.83 juta setakat 10 Ogos.
Prestasi itu hadir selepas industri filem tempatan turut mencatat pertumbuhan kukuh pada tahun sebelumnya.
Antara kejayaan besar 2025 ialah Blood Brothers: Bara Naga dengan kutipan RM73.6 juta, manakala filem animasi Papa Zola The Movie merekodkan RM63.8 juta.
Perkembangan ini memberi gambaran bahawa pasaran filem tempatan mempunyai kemampuan untuk berkembang apabila kandungan yang dihasilkan berjaya menarik minat penonton.
RM300 juta tarik produksi antarabangsa
Usaha Kementerian Komunikasi melalui Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) bukan hanya tertumpu kepada pasaran domestik.
Kerajaan pada 2026 menyediakan RM300 juta bagi program Film in Malaysia Incentive (FIMI) untuk tempoh lima tahun bagi menarik lebih banyak produksi antarabangsa menjalankan penggambaran di Malaysia.
Sejak diperkenalkan pada 2013, FIMI dilaporkan telah menarik kira-kira RM2 bilion pelaburan produksi tempatan dan antarabangsa, dengan anggaran limpahan ekonomi sekitar RM8 bilion kepada sektor seperti pelancongan, hospitaliti, pengangkutan dan perkhidmatan.
Produksi antarabangsa yang menjalani penggambaran di Malaysia juga mewujudkan permintaan terhadap kru tempatan, lokasi, hotel, pengangkutan serta pelbagai perkhidmatan sokongan.
Bukan hanya penerbit dan pelakon
Menurut Pengerusi FINAS Datuk Dr Hans Isaac, ekosistem perfileman negara dianggarkan melibatkan kira-kira 30,000 tenaga kerja.
Sebab itu, sokongan terhadap industri ini tidak hanya memberi kesan kepada penerbit atau pelakon.
Ia turut melibatkan jurukamera, editor, kru audio, pencahayaan, pascaproduksi, penulis, tenaga produksi dan pelbagai pekerjaan di belakang tabir.
FINAS ketika ini turut melaksanakan beberapa inisiatif seperti Dana Belia MADANI, Dana Kandungan Kreatif dan Dana Khas Produksi Citra Nasional (CITRA), selain sokongan dalam pemasaran, pascaproduksi serta pembangunan bakat.
Belanjawan 2027 jadi langkah seterusnya
Dalam menjelang pembentangan Belanjawan 2027, FINAS berharap pembangunan industri perfileman dan kandungan kreatif terus diberikan perhatian.
Hans berkata sokongan berterusan diperlukan bagi mengukuhkan keseluruhan rantaian industri, daripada penerbitan dan pemasaran kepada pascaproduksi, latihan serta pembangunan bakat.
FINAS juga sedang melihat ruang untuk menyokong penghasilan kandungan bagi platform digital serta mengoptimumkan penggunaan fasiliti di Kompleks FINAS Hulu Kelang.
Dasar Filem Negara turut sedang diperhalusi sebagai sebahagian usaha memperkukuh hala tuju industri.
Prestasi dua tahun kebelakangan ini menunjukkan satu perubahan yang menarik.
Filem tempatan bukan lagi sekadar bersaing sesama sendiri. Kini, dari segi kemasukan penonton pada tujuh bulan pertama 2026, ia sudah mampu berada di hadapan filem Hollywood di pawagam Malaysia.
Cabaran seterusnya ialah memastikan momentum itu diterjemahkan kepada industri yang lebih mampan, lebih banyak pekerjaan dan lebih banyak karya Malaysia yang mampu menembusi pasaran antarabangsa.
