Sultan Selangor Titah Perkukuh Perpaduan, Hargai Keharmonian
SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menyeru seluruh rakyat supaya terus memperkukuh perpaduan serta menghargai keamanan dan keharmonian yang dikecapi negara sempena sambutan Hari Malaysia hari ini.
Baginda turut menyeru rakyat agar menyuburkan semangat toleransi dan sikap saling menghormati tanpa mengira kaum, agama dan budaya.
Menerusi hantaran di Facebook Selangor Royal Office hari ini, Sultan Sharafuddin menzahirkan harapan agar semangat kebersamaan terus menjadi pegangan rakyat dalam memelihara kesejahteraan negara.
“Baginda sentiasa mendoakan agar semangat kebersamaan ini terus menjadi pegangan rakyat jelata dalam memelihara kesejahteraan negara agar Malaysia kekal aman, makmur dan bersatu padu untuk generasi kini serta akan datang,” menurut hantaran itu.
Sultan Selangor bertitah sambutan Hari Malaysia pada 16 September setiap tahun merupakan peringatan terhadap detik bersejarah pembentukan Malaysia.
“Baginda berharap agar tarikh penuh bermakna ini sentiasa dikenang sebagai lambang perpaduan nasional yang menyatukan seluruh rakyat di Semenanjung, Sabah dan Sarawak dalam sebuah negara yang berdaulat,” menurut hantaran berkenaan.
Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin turut menzahirkan ucapan Selamat Menyambut Hari Malaysia 2026 kepada seluruh rakyat Malaysia.
“Selamat Hari Malaysia, Malaysia!” menurut hantaran itu.

