ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

Malaysia

Kementerian Komunikasi Perkasa Kawal Selia e-Dagang, Bendung Barangan Terlarang

KUALA LUMPUR – Kementerian Komunikasi bersedia bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi berkaitan bagi memperkukuh kawal selia e-dagang dan membendung penjualan barangan terlarang dalam talian.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata kerjasama itu penting berikutan masih terdapat kelompangan dalam ekosistem e-dagang negara, khususnya apabila platform e-dagang ketika ini belum tertakluk kepada pelesenan.

“Memang ada kelompangan dalam sistem e-dagang. Pada masa ini, e-dagang belum lagi dilesenkan, jadi kita perlu meneliti perkara ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Huawei WAIC Connect Malaysia 2026 Symposium di sini, hari ini.

Fahmi berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengadakan pertemuan dengan sebuah platform e-dagang utama semalam, namun beliau masih belum menerima perkembangan mengenai hasil pertemuan berkenaan setakat pagi ini.

Beliau berkata kebanyakan platform e-dagang di Malaysia melarang penjualan barangan terlarang, termasuk dadah seperti fentanil, namun terdapat kebimbangan apabila sebuah platform didapati terlalu mudah membenarkan produk sedemikian ditawarkan.

“Tidak mustahil akaun yang menjual produk terlarang ini merupakan akaun palsu,” katanya.

Fahmi berkata platform e-dagang perlu mengambil tindakan terhadap pembukaan akaun palsu serta penjualan barangan terlarang dan bukan sekadar menyekat kata kunci carian bagi menyukarkan produk berkenaan ditemui.

“Itu tidak sepatutnya menjadi caranya,” katanya sambil menegaskan platform perlu memastikan akaun palsu tidak diwujudkan bagi tujuan menjual dadah.

Sebelum ini, MCMC diarahkan mengadakan pertemuan dengan platform e-dagang susulan kebimbangan terhadap kegiatan penjualan dadah secara dalam talian, termasuk fentanil dan bahan yang disebut sebagai “piu-piu”.

Fahmi berkata beliau turut menerima mesej daripada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung gejala berkenaan yang dilihat semakin membimbangkan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *