ISU TERKINI · POLITIK · HIBURAN · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK · HIBURAN · SANTAI

Malaysia

Kerajaan Percepat Pindaan RUU e-Dagang, Perkukuh Ekosistem Perniagaan Digital

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan mempercepat proses pindaan Rang Undang-Undang (RUU) e-dagang bagi memastikan ekosistem perniagaan digital negara lebih selamat, teratur serta melindungi hak peniaga dan pengguna.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata langkah itu penting selaras dengan perkembangan pesat perniagaan digital, khususnya dalam kalangan usahawan muda yang menggunakan platform dalam talian untuk menjana pendapatan.

Beliau berkata arahan telah diberikan kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali supaya proses berkaitan peraturan berkenaan dipercepatkan.

“Ada Armizan di depan ribuan anak-anak ini, saya beri arahan supaya peraturan itu dipercepatkan kerana anak-anak mahukan satu peraturan yang dapat dilaksanakan dengan segera.

“Kamu juga mahukan keselamatan dan perlindungan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian TikTok Shop Summit 2026 di sini.

Anwar berkata perkembangan perniagaan digital turut berdepan pelbagai kekangan dan cabaran, termasuk risiko penyalahgunaan platform serta pengaruh oleh pihak tertentu.

Katanya, peraturan diperlukan bagi menggalakkan perniagaan yang sah dan berintegriti, di samping membendung penyalahgunaan perkhidmatan serta memastikan barangan dan perkhidmatan yang ditawarkan kepada pengguna mematuhi nilai etika ditetapkan.

“Dalam kehidupan, kita perlu mengakui bahawa pengurusan, perniagaan dan keuntungan itu penting. Namun, nilai, akhlak dan etika juga tidak kurang pentingnya.

“Sesebuah negara tidak akan benar-benar maju tanpa asas nilai yang kukuh. Sebab itu, kita rangkumkan semuanya dalam kekuatan yang kita ungkapkan sebagai Negara MADANI,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Anwar berkata kerajaan akan melaksanakan Jualan Ihsan Rahmah 9.9 secara dalam talian pada 9 September ini sempena sambutan Hari Malaysia 2026.

Beliau berkata inisiatif itu bertujuan memberi peluang kepada rakyat mendapatkan barangan keperluan harian pada harga lebih berpatutan, selain menjadi tanda sokongan terhadap inisiatif ekonomi digital.

“Semangat Kemerdekaan, Hari Malaysia serta inisiatif yang diambil oleh TikTok Shop saya sambut baik.

“Bagi meneruskan inisiatif terbaik ini, saya mahu menyelarasnya pada peringkat awal dengan Jualan Ihsan Rahmah 9.9 secara dalam talian,” katanya.

Beliau berkata jualan berkenaan akan dilancarkan secara khas, manakala maklumat lanjut mengenainya akan diumumkan kepada rakyat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *