ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

Malaysia

RM350 Juta Peruntukan Tambahan Perkasa Pendigitalan Kesihatan Awam – MCMC

PUTRAJAYA – Peruntukan tambahan RM350 juta yang menjadikan jumlah keseluruhan RM1 bilion dijangka memperkukuh pelaksanaan Pemacu Ekosistem dan Ketersambungan Kesihatan Digital Negara (PERSADA) dalam usaha mempercepat pendigitalan sektor kesihatan awam.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan hari ini berkata peruntukan tambahan itu melengkapi usaha pendigitalan yang sedang dirancang di klinik kesihatan dan hospital awam.

Menurut kenyataan itu, peruntukan berkenaan akan digunakan antaranya bagi memperluas ketersambungan Internet dan pelaksanaan sistem Rekod Perubatan Elektronik (EMR).

“Langkah ini penting dalam merealisasikan aspirasi ‘Satu Individu, Satu Rekod’, sekali gus membolehkan maklumat kesihatan pesakit diakses dengan lebih cekap dan terselaras merentas fasiliti kesihatan awam,” menurut kenyataan itu.

MCMC berkata kerjasama rentas kementerian itu dijangka mempercepat usaha pendigitalan sektor kesihatan yang sebelum ini disasarkan untuk dicapai pada 2045 kepada tahun hadapan.

Menurutnya, pendigitalan perkhidmatan kesihatan dapat memudahkan urusan rawatan, mengurangkan masa menunggu serta kos tidak langsung, khususnya bagi golongan B40 dan M40.

Inisiatif itu juga dijangka memberi manfaat kepada lebih 300,000 pesakit setiap hari yang mendapatkan perkhidmatan di klinik kesihatan dan hospital awam.

“MCMC akan terus bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan (KKM) serta pemain industri bagi membangunkan ekosistem kesihatan awam digital yang kukuh, saling berhubung dan bersedia untuk masa hadapan demi perkhidmatan kesihatan yang lebih baik dan mudah diakses oleh rakyat,” menurut kenyataan itu.

Selain peruntukan tambahan berkenaan, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan lima ikhtiar lain yang berkuat kuasa 1 September.

Ia termasuk peningkatan kelayakan asas Program Budi MADANI RON95 (BUDI95) daripada 200 liter kepada 300 liter sebulan serta peningkatan peruntukan penyelenggaraan semua jenis sekolah bagi 2027 sebanyak 50 peratus, daripada RM1 bilion kepada RM1.5 bilion.

Kerajaan turut membuka Program AI untuk Rakyat kepada anak muda Malaysia berusia 18 hingga 30 tahun.

Selain itu, ambang pengecualian e-Invois dinaikkan daripada RM1 juta kepada RM3 juta setahun, manakala kemudahan pembiayaan mikro ditambah RM1 bilion, menjadikan keseluruhan dana bagi 2026 meningkat daripada RM5 bilion kepada RM6 bilion.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *