ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

Malaysia

Sambutan Hari Malaysia Kekal Di BCCK, Acara Luar Dibatalkan Akibat Jerebu

PUTRAJAYA – Sambutan Hari Malaysia 2026 pada 16 Sept ini akan tetap berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), Sarawak, namun semua acara di luar bangunan dibatalkan susulan keadaan jerebu yang membimbangkan di Kuching dan Serian.

Menteri Komunikasi merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira keadaan kualiti udara di kedua-dua kawasan berkenaan.

“Jemaah Menteri turut mengambil maklum bahawa keadaan jerebu yang agak membimbangkan di Kuching dan Serian di Sarawak akan mengakibatkan acara-acara di luar bangunan tidak dapat diteruskan.

“…tetapi untuk Sambutan Hari Malaysia, ia akan diadakan dalam bangunan pada 16 Sept pada sebelah malam,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Jemaah Menteri di sini hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Fahmi berkata Jemaah Menteri turut dimaklumkan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam bahawa operasi pembenihan awan di Sarawak tidak dapat diteruskan berikutan keadaan kelompok awan yang dikesan ketika ini tidak sesuai untuk operasi berkenaan.

Beliau berkata pergerakan angin berpotensi membawa kelompok awan ke arah Laut China Selatan, sekali gus menyebabkan pembenihan awan tidak menghasilkan hujan di kawasan yang diperlukan.

“Jadi, sekiranya dilakukan pembenihan, hujan tidak akan turun di kawasan yang diperlukan,” katanya.

Tiga kawasan di Sarawak merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap berbahaya setakat 8 pagi ini, dengan Ibu Pejabat Polis Daerah Serian mencatat bacaan tertinggi 320, diikuti Kuching (318) dan Samarahan (302).

Sementara itu, Fahmi berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan penghargaan dan ucapan tahniah kepada seluruh pasukan yang menjayakan Sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Dataran Putrajaya pada Isnin lepas.

Beliau berkata lebih 100,000 orang menghadiri sambutan berkenaan, manakala lebih 10,000 individu terlibat sebagai kontinjen serta sebahagian daripada persembahan formasi grafik manusia.

“Kita percaya program-program sisipan yang telah diadakan juga mampu memberikan satu pengalaman yang baharu dan baik kepada pengunjung ke Putrajaya sempena Hari Kebangsaan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *