Kuota BUDI95 Kembali Kepada 300 Liter Sebulan Mulai Hari Ini
KUALA LUMPUR – Pengembalian kelayakan asas Program Budi MADANI RON95 (BUDI95) kepada 300 liter sebulan mulai hari ini dijangka memberi ruang lebih besar kepada isi rumah mengurus kos pengangkutan, khususnya mereka yang bergantung kepada kenderaan persendirian.
Pensyarah Ekonomi Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sabah, Herniza Roxanne Marcus, berkata manfaat itu dijangka lebih ketara kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana (B40 dan M40) yang mempunyai keperluan perjalanan tinggi.
Beliau berkata keadaan itu kerana perbelanjaan bahan api membentuk bahagian lebih besar daripada pendapatan boleh guna golongan berkenaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2026 di Putrajaya kelmarin mengumumkan kerajaan bersetuju mengembalikan kelayakan asas BUDI95 daripada 200 liter kepada 300 liter sebulan, yang akan memanfaatkan lebih 16 juta pengguna RON95 bersubsidi.
Selain itu, Anwar berkata lebih 500,000 pemilik kenderaan diesel jenis pikap dan jip yang layak turut menerima BUDI Diesel sehingga 400 liter sebulan, berkuat kuasa hari ini.
Herniza berkata meskipun kesan pengembalian kuota BUDI95 dijangka sederhana dan tidak semestinya membawa kepada penurunan kadar inflasi secara langsung, langkah itu dapat membantu mengehadkan tekanan kos pengangkutan.
Katanya, ia juga berpotensi mengurangkan risiko kesan limpahan terhadap harga barangan dan perkhidmatan lain.
“Keputusan ini dilihat sebagai satu bentuk pengimbangan antara kemampuan fiskal kerajaan dengan keperluan melindungi kebajikan dan kuasa beli rakyat, dan bukan semestinya petunjuk bahawa kedudukan fiskal kerajaan kini jauh lebih selesa.
“Pengurangan kelayakan sebelum ini dibuat dalam keadaan ketidaktentuan geopolitik dan tekanan terhadap pasaran tenaga global. Apabila risiko dan keadaan pasaran berubah, kerajaan mempunyai ruang untuk menilai semula tahap subsidi berdasarkan kos semasa, corak penggunaan sebenar serta kesannya terhadap isi rumah,” katanya.
