Jerebu: 6 Kawasan Di Sarawak Catat Udara Tahap Berbahaya, Sibu Terbaru IPU Lebih 300
KUCHING – Keadaan jerebu di Sarawak semakin memburuk apabila lima kawasan merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap berbahaya setakat 6 pagi ini, dengan Serian mencatatkan bacaan tertinggi 415.
Berdasarkan maklumat Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS), Kuching merekodkan bacaan IPU 405, diikuti Samarahan (369), Sri Aman (355) dan Sarikei (328).
Keadaan itu menunjukkan kualiti udara di kawasan berkenaan berada pada tahap membimbangkan dan berpotensi menjejaskan kesihatan penduduk.
Empat lagi kawasan iaitu Sibu, Mukah, Samalaju dan Bintulu masing-masing merekodkan bacaan IPU 298, 228, 218 dan 221, yang dikategorikan sebagai sangat tidak sihat.
Sementara itu, empat kawasan lain merekodkan bacaan pada tahap tidak sihat, masing-masing ILP Miri (184), Miri (178), Kapit (176) dan Limbang (166).
Keadaan jerebu teruk yang menyelubungi Sarawak dipercayai berpunca daripada peningkatan aktiviti pembakaran terbuka dan kebakaran hutan di wilayah negara jiran, selain cuaca panas serta kering yang menyebabkan asap lebih mudah terperangkap di atmosfera.
Situasi itu dikhuatiri meningkatkan risiko masalah kesihatan, khususnya dalam kalangan golongan berisiko seperti kanak-kanak, warga emas, wanita hamil serta individu yang mempunyai masalah pernafasan dan penyakit berkaitan paru-paru.
Semalam, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata purata kes jangkitan Saluran Pernafasan Akut (URTI) di negeri itu meningkat kepada kira-kira 1,752 kes seminggu sejak kebelakangan ini berbanding sekitar 1,717 kes seminggu pada awal tahun.
Beliau berkata peningkatan itu berlaku susulan kemerosotan kualiti udara yang dikesan sejak awal Ogos lalu.
Kes konjunktivitis turut meningkat dengan purata kira-kira 21 kes seminggu berbanding 17 kes sebelum ini.
