Pembunuh Bersiri Kini ‘Mengganas’ Di Pulau Jeju?
SEOUL – Penemuan empat mayat, termasuk seorang wanita, di Pulau Jeju dalam tempoh tiga hari mencetuskan kebimbangan dan spekulasi dalam talian mengenai kemungkinan seorang pembunuh bersiri sedang beroperasi di destinasi pelancongan terkenal Korea Selatan itu.
Kebimbangan itu bertambah selepas lebih 12 individu dilaporkan hilang di pulau berkenaan dalam beberapa minggu kebelakangan ini, selain timbul kontroversi terhadap cara pasukan polis mengendalikan beberapa laporan kehilangan.
Presiden Lee Jae-myung turut campur tangan dengan mengarahkan siasatan menyeluruh terhadap pengendalian kes berkenaan serta menggesa pembaharuan dalam pasukan polis bagi mengelakkan kelemahan sama berulang.
“Saya menuntut agar pasukan polis lebih telus dan bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas. Mereka berkemungkinan memegang kuasa paling besar berbanding institusi kerajaan yang lain.
“Namun, orang ramai kini mempersoalkan sejauh mana polis mampu melaksanakan tugas yang begitu besar,” katanya pada mesyuarat Kabinet, Selasa.
Bagaimanapun, setakat ini tiada bukti yang mengesahkan kewujudan pembunuh bersiri di Pulau Jeju atau kaitan antara kes kehilangan dan kematian yang dilaporkan.

Antara kes yang mendapat perhatian ialah kehilangan Jang Mi-ran, 37, yang dilaporkan hilang pada 12 Mei lalu sebelum mayatnya ditemukan dalam keadaan mereput di sebuah kawasan ladang di Hallim-eup pada Isnin.
Mayat mangsa ditemukan kira-kira satu kilometer dari lokasi penginapannya, dengan identitinya disahkan menerusi bedah siasat, manakala analisis DNA masih dijalankan.
Laporan awal tidak menemukan tanda jelas kecederaan luaran pada tubuh mangsa dan polis sedang menyiasat semua kemungkinan, termasuk kemungkinan mangsa mengambil nyawanya sendiri.
Kontroversi pengendalian kes orang hilang
Dalam pada itu, pasukan polis Jeju turut berdepan kontroversi selepas seorang pegawai didakwa menutup secara tidak wajar ratusan kes orang hilang dalam tempoh kira-kira 17 bulan.
Pihak berkuasa kini sedang meneliti semula 298 kes yang pernah dikendalikan pegawai berkenaan bagi menentukan sama ada berlaku kecuaian atau salah laku dalam pengendalian laporan terbabit.
Pegawai itu hadir di mahkamah pada Selasa bagi prosiding waran tangkap dan berdepan beberapa dakwaan, termasuk cuai menjalankan tugas, memalsukan rekod elektronik rasmi serta menghalang tugas rasmi.
Siasatan mendapati pegawai berkenaan didakwa memaklumkan kepada teman lelaki Jang bahawa beliau telah menghubungi wanita itu dan mangsa mahu lokasi keberadaannya dirahsiakan.
Bagaimanapun, penyiasat tidak menemukan sebarang rekod panggilan yang menyokong dakwaan berkenaan.
Kes kehilangan Jang kemudiannya ditutup dan maklumat berkaitan laporan orang hilangnya turut didakwa dipadam daripada sistem.

Pegawai sama juga didakwa menutup secara tidak wajar satu lagi kes kehilangan membabitkan seorang lelaki berusia lingkungan 60-an yang ditemukan meninggal dunia pada 22 Ogos lalu.
Susulan kontroversi itu, Agensi Polis Kebangsaan Korea Selatan (NPA) menggantung tugas empat pegawai kanan di Balai Polis Jeju Seobu, termasuk ketua balai semasa dan bekas ketua balai serta dua pegawai penyiasat kanan.
NPA turut menjalankan semakan terhadap prosedur pengendalian kes orang hilang susulan persoalan mengenai kelemahan dalam siasatan beberapa laporan kehilangan di pulau berkenaan.
Di media sosial, peta yang memaparkan lokasi beberapa kes kehilangan di Pulau Jeju sejak beberapa minggu lalu turut tular dan mencetuskan spekulasi bahawa kejadian berkenaan mungkin mempunyai kaitan antara satu sama lain.
Namun, pihak berkuasa setakat ini belum menemukan sebarang bukti yang mengaitkan keempat-empat kematian itu atau mengesahkan dakwaan mengenai kewujudan pembunuh bersiri dan sindiket pemerdagangan manusia.
