ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

Malaysia

Ustaz Lah Dituduh Pecah Amanah, Pengubahan Wang Haram Lebih RM15 Juta

SEREMBAN – Seorang pendakwah dan pempengaruh agama mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 34 pertuduhan pecah amanah membabitkan dana sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berjumlah lebih RM13.8 juta serta 17 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM1.56 juta.

Abdullah Abdol Razak, 40, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datin M. Kunasundary.

Mengikut 34 pertuduhan yang dibacakan secara berasingan, Abdullah, selaku Pengerusi Pertubuhan Rezeki Infaq Malaysia (PRIM), didakwa sebagai ejen yang diamanahkan dengan penguasaan ke atas dana pertubuhan itu berjumlah keseluruhan RM13,847,535.89.

Beliau didakwa melakukan pecah amanah jenayah terhadap dana berkenaan dengan melepaskan wang itu secara tidak jujur dan melanggar Fasal 10 Perlembagaan PRIM yang menetapkan kaedah pelaksanaan amanah berkenaan.

Tertuduh didakwa meluluskan pembayaran wang itu ke beberapa akaun bank, termasuk akaun miliknya sendiri, tanpa kebenaran Mesyuarat Agung PRIM.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 28 Februari 2023 hingga 31 Mac 2026 di sebuah bank di daerah ini.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan maksimum 20 tahun, sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding sama, Abdullah turut mengaku tidak bersalah atas 17 pertuduhan pengubahan wang haram dengan memindahkan wang berjumlah keseluruhan RM1.56 juta daripada beberapa akaun bank ke beberapa akaun lain bagi tujuan pembayaran pembelian emas.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 18 Mei 2024 hingga 24 Februari 2026 di lokasi sama.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara maksimum 15 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan, atau RM5 juta, mengikut mana yang lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ahmad Akram Gharib memberitahu mahkamah bahawa kesalahan berkenaan tidak boleh dijamin, namun menyerahkan kepada budi bicara mahkamah untuk membenarkan jaminan RM1 juta dengan beberapa syarat tambahan.

Peguam Azrul Zulkifli Stork yang mewakili Abdullah merayu agar jaminan dikurangkan kepada RM700,000 dengan mengambil kira semua akaun bank anak guamnya telah dibekukan.

Beliau berkata Abdullah telah berkahwin dan mempunyai 11 anak berusia antara empat hingga 15 tahun, selain menjalankan perniagaan restoran dan mempunyai pendapatan tidak menentu sebagai pempengaruh.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM700,000 dengan dua penjamin warganegara berusia lebih 21 tahun, membabitkan RM400,000 jaminan bercagar dan RM300,000 tidak bercagar.

Mahkamah turut menetapkan beberapa syarat tambahan termasuk menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak mengganggu saksi pendakwaan, sama ada secara sendiri atau melalui pihak ketiga.

Sementara itu, Setiausaha PRIM, Noor Sahira Abdullah, 30, turut didakwa bersubahat dengan Abdullah melakukan pecah amanah jenayah membabitkan dana pertubuhan itu berjumlah keseluruhan RM13,847,535.89.

Dia didakwa dengan sengaja membantu melakukan pemindahan wang secara perbankan dalam talian ke beberapa akaun bank tanpa kebenaran Mesyuarat Agung PRIM antara 24 April 2023 hingga 28 Mac 2026.

Pertuduhan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 409 kanun sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih 20 tahun, sebatan serta denda.

Timbalan Pendakwa Raya, Syairah Aqilah Khalil menawarkan jaminan RM250,000 dengan dua penjamin warganegara serta beberapa syarat tambahan.

Bagaimanapun, peguam Azrul Zulkifli merayu agar jaminan dikurangkan kepada RM150,000 dengan mengambil kira Noor Sahira telah berkahwin, mempunyai seorang anak berusia lima bulan dan perlu menanggung ibu bapanya yang tidak sihat.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM200,000 dengan dua penjamin tempatan berusia lebih 21 tahun serta syarat tambahan seperti yang dikenakan terhadap Abdullah.

Mahkamah menetapkan 28 September depan untuk sebutan semula semua kes.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *