ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

Dunia

Individu Tertua Di Dunia Sambut Ulang Tahun Kelahiran Yang Ke-117

LONDON – Individu tertua di dunia yang masih hidup, Ethel Caterham, menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-117 hari ini selepas melalui setahun yang disifatkannya penuh dengan pelbagai pengalaman baharu, termasuk bertemu Raja Britain, Raja Charles III.

Caterham, yang menetap di Hallmark Lakeview Care Home di Lightwater, Surrey, barat daya London, meraikan hari istimewanya bersama keluarga dan rakan-rakan.

Dalam satu kenyataan, beliau merakamkan penghargaan atas ucapan selamat yang diterimanya dan berkata usia lanjut tidak menghalangnya daripada menikmati pengalaman baharu.

“Walaupun sudah berusia 117 tahun, saya mengalami banyak perkara pertama tahun ini, daripada membelai llama hinggalah memegang tangan Raja.

“Saya menikmati hari yang indah bersama keluarga dan rakan-rakan, dan saya menantikan apa yang bakal dilalui tahun depan,” katanya.

Caterham dikunjungi Raja Charles III pada September tahun lalu, tidak lama selepas sambutan ulang tahun kelahirannya yang ke-116, dengan baginda turut memegang tangannya ketika memperkenalkan diri.

Beliau menjadi individu tertua yang masih hidup di dunia pada April 2025 selepas kematian seorang biarawati dari Brazil, Sister Inah Canabarro Lucas, pada usia 116 tahun.

Ketika pertemuan dengan Raja Charles, Caterham turut mengimbas pelantikan baginda sebagai Putera Wales pada 1969 ketika berusia 21 tahun.

“Semua gadis jatuh cinta dengan anda dan mahu berkahwin dengan anda,” katanya kepada Raja Charles ketika itu.

Caterham dilahirkan pada 21 Ogos 1909 di Shipton Bellinger, Hampshire, lima tahun sebelum tercetusnya Perang Dunia Pertama, dan merupakan anak kedua bongsu daripada lapan beradik.

Beliau juga merupakan rakyat terakhir yang masih hidup yang dilahirkan ketika pemerintahan Raja Edward VII, yang mangkat pada Mei 1910.

Pada usia 18 tahun, Caterham berhijrah ke India pada 1927 dan bekerja sebagai pengasuh kepada sebuah keluarga tentera sebelum kembali ke Britain ketika berusia 21 tahun.

Beliau kemudian bertemu suaminya, Norman, seorang Leftenan Kolonel Tentera Darat British, pada satu majlis makan malam pada 1931. Norman meninggal dunia pada 1976.

Pasangan itu pernah menetap di Salisbury sebelum Norman ditugaskan ke Gibraltar dan Hong Kong. Ketika berada di Hong Kong, Caterham menubuhkan sebuah tadika dan membesarkan dua anak perempuan, yang kedua-duanya meninggal dunia sebelum beliau.

Antara pencapaian luar biasanya, Caterham memandu sehingga berusia 97 tahun dan masih gemar bermain contract bridge ketika memasuki usia 100-an.

Beliau turut pulih daripada COVID-19 pada 2020 ketika berusia 110 tahun.

Menurut Guinness World Records, rekod individu paling tua yang pernah direkodkan masih dipegang oleh wanita Perancis, Jeanne Calment, yang meninggal dunia pada usia 122 tahun dan 164 hari.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *