Peminat persoal akses siaran langsung SUKMA Selangor 2026
SHAH ALAM: Kemeriahan Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 bukan sahaja mendapat perhatian mereka yang hadir ke venue pertandingan, malah turut menjadi tumpuan peminat yang mengikuti perkembangan temasya itu menerusi platform digital.
Namun, keterbatasan liputan secara langsung bagi beberapa acara menimbulkan rasa kecewa dalam kalangan peminat yang mahu menyaksikan sendiri aksi atlet dari seluruh negara.

Di media sosial, isu berkenaan turut mendapat perhatian netizen yang menyifatkan liputan lebih menyeluruh wajar disediakan, terutama ketika pertandingan melibatkan atlet yang menjadi harapan negeri masing-masing.
Antara reaksi yang dilontarkan netizen termasuk persoalan mengapa tidak semua acara dapat ditonton secara langsung, selain cadangan supaya lebih banyak pertandingan disiarkan menerusi platform penstriman.
Ada juga yang berpandangan, akses kepada siaran langsung penting bagi peminat yang tidak berpeluang hadir ke venue, khususnya bagi acara yang kurang mendapat liputan televisyen.
“Kalau tak dapat pergi venue, sekurang-kurangnya boleh tengok secara live,” antara pandangan yang menggambarkan kekecewaan peminat terhadap keterbatasan siaran.
Seorang lagi pengguna media sosial turut berharap penganjur dapat memperluaskan liputan digital supaya perjalanan atlet dalam pelbagai jenis sukan dapat diikuti dengan lebih mudah.
SUKMA Selangor 2026 menghimpunkan lebih 5,000 atlet dari 14 negeri dan Brunei yang bersaing dalam 469 acara membabitkan 37 jenis sukan.
Penganjur sebelum ini turut memaklumkan bahawa siaran langsung aksi SUKMA disediakan menerusi platform rakan penyiaran rasmi, termasuk platform penyiaran OTT temasya berkenaan.
Justeru, peminat berharap pilihan tontonan yang lebih luas dapat disediakan supaya kemeriahan SUKMA tidak hanya dirasai di lokasi pertandingan, tetapi turut dapat dikongsi bersama penonton di seluruh negara.
