ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

Malaysia

Penganjur Himpunan RXZ Members Diarah Sedia Platform Pendaftaran Peserta – JPJ

KUALA LUMPUR – Penganjur program himpunan RXZ Members diarahkan menyediakan platform pendaftaran peserta secara dalam talian dengan menetapkan beberapa syarat bagi memastikan aspek keselamatan serta pematuhan undang-undang diberi keutamaan.

Perkara itu antara yang dipersetujui dalam Sesi Libat Urus Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bersama penganjur RXZ Members yang dipengerusikan Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan di Bahagian Penguatkuasa, Ibu Pejabat JPJ, Putrajaya, semalam.

Muhammad Kifli berkata peserta diwajibkan memiliki lesen memandu yang sah, manakala motosikal yang didaftarkan perlu mempunyai Lesen Kenderaan Motor (LKM) serta perlindungan insurans yang masih berkuat kuasa.

Beliau berkata peserta juga perlu melampirkan empat gambar motosikal yang didaftarkan meliputi bahagian nombor pendaftaran depan dan belakang serta sisi kiri dan kanan motosikal.

“Selain itu, keperluan melaksanakan pengurusan risiko secara lebih sistematik sebelum, semasa dan selepas acara.

“Ini termasuk aspek kelayakan pemandu dan kenderaan, kawalan pergerakan serta pelaksanaan penguatkuasaan secara strategik dengan memberi keutamaan kepada kesalahan yang berisiko tinggi terhadap keselamatan dan nyawa pengguna jalan raya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, kerjasama dengan syarikat konsesi lebuh raya dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) turut diperlukan dalam pelaksanaan Travel Time Advisory (TTA) bagi membantu melancarkan aliran trafik serta meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya.

Sesi itu turut dihadiri Pengarah JPJ Pahang, Melaka dan Terengganu serta pegawai kanan JPJ Ibu Pejabat, wakil Bahagian Korporat, Bahagian Kejuruteraan Automotif dan Bahagian Keselamatan Jalan Raya serta penganjur RXZ Members.

Turut hadir wakil Polis Diraja Malaysia (PDRM) Terengganu, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Muhammad Kifli berkata JPJ turut mengesyorkan pendekatan secara berperingkat menerusi libat urus awal, pendidikan dan kesedaran sebelum tindakan penguatkuasaan tegas diambil apabila diperlukan.

Beliau berkata kerjasama erat antara penganjur, JPJ, PDRM dan agensi teknikal berkaitan penting bagi memastikan penganjuran acara berlangsung secara teratur, selamat dan bertanggungjawab.

Katanya, sesi itu menjadi platform strategik untuk membincangkan aspek keselamatan jalan raya serta langkah penambahbaikan dalam pengurusan risiko, khususnya bagi penganjuran acara permotoran berskala besar.

“JPJ sentiasa menyokong aktiviti komuniti permotoran yang dilaksanakan secara teratur dan bertanggungjawab. Pada masa sama, keselamatan awam, pematuhan undang-undang dan perlindungan nyawa pengguna jalan raya akan terus menjadi keutamaan.

“JPJ juga akan mengadakan sesi libat urus bersama agensi berkaitan dan penganjur pada masa akan datang,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *