“Sabah, Sarawak ‘King Maker’ Tentukan Siapa PM, Siapa Kerajaan Persekutuan” – Ewon
PENAMPANG – Sabah dan Sarawak mempunyai peranan penting, termasuk berpotensi menjadi ‘king maker’ dalam menentukan pihak yang akan menerajui pentadbiran Kerajaan Persekutuan, kata Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick.
Beliau berkata peranan kedua-dua negeri itu tidak seharusnya dipandang ringan memandangkan kedudukannya sebagai antara komponen penting dalam pembentukan Malaysia.
“Kekuatan sebenar Sabah dan Sarawak adalah dalam menentukan sama ada Persekutuan Malaysia ini perlu diteruskan atau tidak.
“Justeru jangan perkecilkan peranan Sabah dan Sarawak dalam memastikan siapa Perdana Menteri, siapa Kerajaan Persekutuan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan dasar pada Persidangan Perwakilan Tritahunan UPKO Ke-17 di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ewon berkata kedudukan Sabah dan Sarawak perlu dilihat dalam konteks lebih luas kerana Malaysia tidak akan terbentuk tanpa penyertaan kedua-dua negeri berkenaan.
“Saya melihatnya dalam konteks lebih besar. Persekutuan ataupun negara Malaysia ini tidak akan wujud tanpa Sabah dan Sarawak.
“Sebab itu Sabah dan Sarawak harus menjadi sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan, harus menjadi sebahagian daripada tadbir urus negara ini dan boleh menjadi ‘king maker’ sama ada mahu meneruskan Persekutuan ini,” katanya.
Sementara itu, Ewon berkata UPKO telah membuat persediaan awal menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang dengan memperkukuh struktur parti selain menggalakkan anggota yang berhasrat bertanding supaya meningkatkan gerak kerja di lapangan.
Beliau berkata perbincangan mengenai pembahagian kerusi akan dilakukan bersama parti-parti dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) apabila tiba masanya.
“UPKO akan menyampaikan pandangan dan pendirian, sekurang-kurangnya dua kerusi sedia ada UPKO untuk Parlimen iaitu Tuaran dan Penampang haruslah diberi ruang untuk parti ini bertanding.
“Sementara selebihnya, saya memilih untuk merunding melalui proses dalaman dalam GRS,” katanya.
Ewon berkata setakat ini belum ada rundingan rasmi berhubung pembahagian kerusi dan perkara itu akan dibincangkan pada masa yang sesuai bersama Ketua Menteri Sabah serta parti komponen GRS.
