ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

Politik

Taklimat Khas BN Berhubung Laporan RCI Tabung Haji Isnin Ini

KUALA LUMPUR – Taklimat khas Barisan Nasional (BN) berhubung laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) yang dijadualkan Isnin ini bertujuan menyelaras pendirian dan hujah Ahli Parlimen gabungan itu menjelang sidang khas Dewan Rakyat pada 11 Ogos.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata beberapa wakil Kelab Ahli Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) turut dikenal pasti untuk mengambil bahagian dalam perbahasan laporan berkenaan.

Beliau berkata taklimat itu akan memberi penekanan kepada naratif yang akan dibawa oleh BN ketika membahaskan dapatan laporan RCI tersebut.

“Antara perkara yang akan diberi tumpuan ialah naratif yang ingin dibawa BN. Sebagai contoh, ketika BN mentadbir antara 2014 hingga 2018, akaun TH menerima laporan audit bersih daripada Ketua Audit Negara.

“Apabila akaun itu diaudit, Jabatan Audit Negara memberikan laporan yang tidak menunjukkan sebarang masalah. Itu antara naratif penting yang perlu diketengahkan, selain beberapa perkara lain yang akan diberi perhatian.

“Inilah yang perlu diteliti oleh Ahli Parlimen BN supaya mereka membuat persediaan rapi sebelum berucap di Dewan Rakyat nanti,” katanya kepada pemberita di Karangkraf di sini hari ini.

Sebelum ini, BN memaklumkan akan mengadakan taklimat khas mengenai laporan RCI TH yang dinyahklasifikasikan kerajaan baru-baru ini.

Pada 31 Julai lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan sidang khas Parlimen akan diadakan pada 11 Ogos bagi membahaskan dapatan laporan RCI berkenaan.

Sidang khas itu diadakan susulan keputusan Jemaah Menteri untuk menyahklasifikasikan laporan tersebut bagi membolehkan agensi penguat kuasa menjalankan siasatan lanjut berdasarkan dapatan yang dikemukakan.

Mengulas sama ada BN bersedia berdepan dapatan laporan termasuk jika terdapat individu yang dikaitkan dengan gabungan itu, Ahmad berkata BN tidak mempunyai sebarang masalah kerana individu yang dinamakan sebelum ini telah memberikan penjelasan masing-masing.

Beliau berkata bekas Pengerusi TH Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim telah dibebaskan daripada siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), manakala bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Jamil Khir Baharom turut menjelaskan bahawa setiap keputusan berkaitan TH dibuat berdasarkan nasihat Ahli Lembaga Pengarah dan bukannya secara bersendirian.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *