ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

Malaysia

Penduduk Malaysia Cecah 34.4 Juta, 11 Negeri Berstatus Populasi Menua

KUALA LUMPUR – Jumlah penduduk Malaysia dianggarkan meningkat kepada 34.4 juta orang pada 2026, berbanding 34.2 juta tahun lalu, manakala 11 negeri bersama Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur kini dikategorikan sebagai negeri berstatus populasi menua.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) memaklumkan jumlah penduduk negara meningkat sebanyak 0.5 peratus, dengan bilangan warganegara bertambah daripada 30.8 juta pada 2025 kepada 31 juta pada tahun ini.

Menurut DOSM, jumlah penduduk bukan warganegara pula terus menunjukkan trend penurunan apabila merekodkan kadar pertumbuhan negatif 0.2 peratus, selepas menyusut 0.5 peratus pada tahun sebelumnya.

“Dalam kalangan warganegara, Bumiputera merangkumi 70.7 peratus daripada keseluruhan penduduk, diikuti kaum Cina (22.0 peratus), India (6.5 peratus) dan lain-lain (0.8 peratus),” menurut kenyataan itu.

Dari segi jantina, bilangan penduduk lelaki meningkat kepada 18 juta, manakala wanita bertambah kepada 16.4 juta, dengan nisbah jantina kekal pada 110 lelaki bagi setiap 100 wanita.

Perlis dan Putrajaya menjadi satu-satunya negeri yang mempunyai bilangan wanita melebihi lelaki, manakala Kuala Lumpur mencatatkan nisbah jantina tertinggi iaitu 117 lelaki bagi setiap 100 wanita.

Di peringkat negeri, Terengganu merekodkan kadar pertumbuhan penduduk tertinggi sebanyak 1.2 peratus, diikuti Kelantan (1.0 peratus).

Selangor, Pahang dan Putrajaya pula masing-masing mencatatkan pertumbuhan 0.6 peratus, iaitu menyamai atau melebihi kadar purata kebangsaan.

Selangor kekal sebagai negeri paling padat penduduk dengan menyumbang 21.7 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia, diikuti Johor (12.3 peratus) dan Sabah (11.0 peratus).

Labuan dan Putrajaya pula merekodkan bahagian penduduk paling kecil, masing-masing 0.3 peratus dan 0.4 peratus.

DOSM turut memaklumkan sebanyak 12 negeri kini mencapai status negeri menua, iaitu apabila penduduk berusia 65 tahun ke atas melebihi tujuh peratus daripada keseluruhan populasi negeri berkenaan.

Perak terus merekodkan peratusan tertinggi penduduk berusia 65 tahun ke atas iaitu 10.8 peratus, diikuti Sarawak dan Kedah (9.7 peratus), Pulau Pinang serta Perlis (8.8 peratus), Selangor (8.7 peratus), Negeri Sembilan (8.6 peratus), Johor (8.1 peratus), Kelantan (7.8 peratus), Melaka (7.6 peratus), Pahang (7.5 peratus) dan Kuala Lumpur (7.4 peratus).

Di peringkat nasional, peratusan penduduk berumur bawah 15 tahun menurun daripada 21.6 peratus pada 2025 kepada 21.2 peratus pada 2026, manakala golongan berusia 65 tahun ke atas meningkat daripada 8.0 peratus kepada 8.4 peratus.

Sementara itu, kumpulan penduduk berusia antara 15 hingga 64 tahun yang mewakili umur bekerja kekal pada 70.4 peratus daripada keseluruhan penduduk negara.

Menurut DOSM, Putrajaya merekodkan peratusan tertinggi penduduk berusia bawah 15 tahun iaitu 31.4 peratus, manakala Kuala Lumpur mempunyai peratusan tertinggi penduduk dalam kumpulan umur bekerja, iaitu 76 peratus.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *