Pelan Pemulihan Dilaksana Tangani Kerugian Pelaburan RM12.6 Bilion – TH
KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) memaklumkan pelan pemulihan dan penstrukturan semula yang dilaksanakan pada 2018 berjaya mengembalikan institusi itu ke landasan kewangan yang mampan selepas menangani kerugian pelaburan berjumlah RM12.6 bilion sehingga akhir tahun lalu.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan penyahklasifikasian Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai TH yang mendedahkan kerugian pelaburan serta kelemahan tadbir urus sebelum pelaksanaan pelan penstrukturan semula.
Menurut TH, kedudukan kewangannya kini lebih kukuh dan institusi itu telah mula membina semula rizab bagi memastikan kestabilan jangka panjang.
“Agihan keuntungan kepada pendeposit terus menunjukkan peningkatan, daripada 1.25 peratus pada 2018, meningkat kepada 3.25 peratus pada 2024 dan 3.5 peratus bagi tahun kewangan 2025.
“Agihan tersebut turut mengambil kira rosot nilai aset bermasalah berjumlah RM2.6 bilion yang tidak dapat dipindahkan kepada Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) menjelang akhir 2018 atas faktor tertentu,” menurut kenyataan itu.
RCI berkenaan ditubuhkan pada 2021 bagi menyiasat pengurusan, operasi serta isu berkaitan aset TH sepanjang tempoh 2014 hingga 2020 susulan kebimbangan terhadap tadbir urus dan kedudukan kewangan institusi tersebut.
Siasatan yang dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Raus Sharif turut meneliti proses pemindahan aset berprestasi rendah kepada UJSB selepas 2018.
Laporan yang disiapkan pada Julai 2022 itu turut mengesyorkan audit forensik terhadap 14 pelaburan bermasalah, termasuk TH Indo Plantations, Trurich Resources dan FGV Holdings Berhad.
TH menjelaskan pelan pemulihan yang dilaksanakan pada 2018 bertujuan mengatasi defisit kewangan yang ketika itu memerlukan campur tangan kerajaan bagi mengelakkan institusi berkenaan menjadi tidak solven.
Menurut TH, tanpa langkah penyelamatan itu, keadaan berpotensi mencetuskan krisis dalam pasaran kewangan serta menjejaskan kestabilan ekonomi negara.
“TH berisiko terpaksa menjual aset pada harga jauh lebih rendah daripada nilai sebenar bagi memenuhi pengeluaran deposit secara besar-besaran selepas gagal mengisytiharkan agihan keuntungan.
“Dalam tempoh yang amat terhad sebelum akhir 2018, kerajaan dan TH mempertimbangkan empat pilihan sebelum memutuskan untuk menjual aset berprestasi rendah dan bermasalah kepada kerajaan pada nilai premium bagi merapatkan jurang antara aset dan liabiliti serta memastikan TH kekal solven,” katanya.
Menurut TH, UJSB yang merupakan syarikat tujuan khas milik penuh kerajaan memperoleh aset dengan nilai buku RM9.7 bilion pada harga RM19.9 bilion, sekali gus menampung defisit kewangan dan membolehkan TH mengagihkan keuntungan kepada pendeposit bagi tahun 2018.
“Transaksi itu dibiayai menerusi dua siri sukuk yang diterbitkan UJSB dan disokong oleh surat sokongan kerajaan, masing-masing dengan kadar keuntungan tahunan 4.05 peratus dan 4.1 peratus,” katanya.
TH turut menjelaskan bahawa di bawah perjanjian berkenaan, institusi itu diberikan hak keutamaan untuk membeli semula aset yang dipindahkan sekiranya UJSB bercadang menjualnya.
Bagaimanapun, hak tersebut tidak mewajibkan TH membeli semula aset berkenaan, sebaliknya hanya memberi peluang pertama kepada institusi itu untuk mempertimbangkan pembelian berdasarkan penilaian komersial dan kesesuaian dengan strategi pelaburan semasa.
Menurut TH, sepanjang tempoh sukuk, beberapa tawaran telah dibuat oleh UJSB, namun tiada satu pun memenuhi kriteria pelaburan yang ditetapkan.
“Tahun ini, selepas penilaian semula dibuat, TH membeli semula tanah di Tun Razak Exchange (TRX) pada harga pasaran semasa sebanyak RM270 juta, lebih rendah daripada harga asal ketika dijual kepada UJSB iaitu RM400 juta.
“TH juga mengambil semula ladang kelapa sawit milik UJ Estates (Holdings) Sdn Bhd pada harga RM695 juta, berbanding harga jualan asal sebanyak RM800 juta,” katanya.
Menurut TH, langkah itu membuktikan institusi berkenaan hanya akan membeli semula aset yang mampu memberikan nilai tambah kepada portfolio pelaburannya demi melindungi kepentingan pendeposit.
