(RXZ Member) Setiap tahun juga kita membaca berita kematian. Persoalannya. Sampai bila?
Setakat 31 julai 2026, lima nyawa dilaporkan terkorban dalam beberapa siri kemalangan di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) ketika dalam perjalanan menghadiri RXZ Members.
Acara ini sememangnya dinanti-nantikan ribuan peminat motosikal dari seluruh negara. Ia menjadi simbol persaudaraan dan minat terhadap dunia permotoran. Namun, setiap kali acara ini berlangsung, seolah-olah sudah menjadi satu kebiasaan apabila media dipenuhi berita kemalangan dan kehilangan nyawa.
Kenapa perkara ini masih berulang?
Hakikatnya, bukan semua peserta bersikap melulu. Ramai yang menunggang dengan penuh disiplin dan mematuhi undang-undang. Tetapi, disebabkan segelintir yang gemar menunjukkan keberanian di jalan raya, berlumba, melakukan aksi ‘fly’ dan menunggang secara berbahaya, akhirnya nama seluruh komuniti RXZ turut tercalar.
Jalan raya bukan litar perlumbaan. Lebuh raya bukan pentas untuk membuktikan siapa paling laju.
Adakah penganjuran RXZ Members perlu dihentikan? Mungkin tidak. Tetapi adakah tahap disiplin segelintir peserta perlu dipersoalkan? Jawapannya, ya.
Kalau setiap tahun angka kemalangan dan kematian terus meningkat setiap kali acara ini berlangsung, sudah tiba masanya semua pihak bermuhasabah. Penganjur, peserta, penguat kuasa dan komuniti motosikal sendiri perlu memainkan peranan. Jangan sampai acara yang sepatutnya menyatukan peminat motosikal akhirnya dikenang kerana kehilangan nyawa.
Pergi berkonvoi beribu-ribu orang memang nampak hebat. Tapi pulang dengan selamat, itu yang lebih bermakna. Kerana di rumah, masih ada ibu, ayah, isteri dan anak-anak yang menunggu kepulangan, bukannya menerima berita kematian.
