ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

Malaysia

‘Saya terkilan, kecewa pembubaran Bahagian Counter-Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman’ – Ayob Khan

“Perkara yang paling saya terkilan sepanjang hampir 35 tahun berkhidmat dalam PDRM ialah apabila Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman dibubarkan pada Februari 2013.”

Itulah luahan penuh emosi Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay, yang mengakui keputusan tersebut masih meninggalkan kesan mendalam sehingga hari ini.

Menurut Ayob Khan, pasukan Counter Terrorism itu bukan diwujudkan dalam tempoh singkat. Sebaliknya, ia dibangunkan secara berperingkat sejak tahun 2009 dengan kepakaran, latihan dan keupayaan risikan yang khusus bagi menangani ancaman keganasan di Malaysia.

Ayob Khan berkata pembubaran Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman menyebabkan keupayaan yang dibina sejak 2009 tidak dapat diteruskan. -Gambar fail/Bernama

Namun, segala usaha yang dibina selama empat tahun itu tidak dapat diteruskan apabila bahagian tersebut dibubarkan pada Februari 2013.

“Apabila ia dibubarkan, memang saya amat kecewa,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Negara di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), Kuala Lumpur.

Dalam masa sama, Ayob Khan turut mengingatkan bahawa ancaman keganasan tidak pernah benar-benar berakhir. Landskap keselamatan kini semakin mencabar apabila kumpulan ekstremis menggunakan media sosial, platform digital dan permainan dalam talian untuk merekrut ahli baharu, sekali gus memerlukan pasukan risikan sentiasa berada selangkah di hadapan.

Beliau sebelum ini turut mendedahkan bahawa Bahagian Counter Terrorism (E8) berjaya menggagalkan 26 cubaan serangan pengganas di Malaysia sepanjang tempoh 2012 hingga 2024, selain menahan puluhan individu yang dipercayai merancang pelbagai serangan terhadap sasaran strategik negara.

Selain isu keselamatan negara, Ayob Khan turut menegaskan bahawa aspek integriti dalam PDRM tidak boleh dikompromi. Beliau berkata mana-mana pegawai atau anggota yang terlibat dengan rasuah, penyalahgunaan kuasa atau kegiatan jenayah perlu dikenakan tindakan tegas tanpa mengira pangkat.

Menurut beliau, jika kepimpinan gagal bertindak, salah laku tersebut akhirnya akan menjadi budaya yang mampu merosakkan keseluruhan organisasi.

“Jangan ada kompromi. Kalau ada yang melakukan kesalahan, ambil tindakan. Jangan kira pangkat. Jika rasuah dianggap budaya, rosaklah pasukan ini,” tegasnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *