DYTM Raja Muda Selangor dan Isteri Dikurniakan Puteri Sulung
SHAH ALAM, 24 Julai – Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, Raja Muda Selangor bersama isteri, Yang Mulia Datin Paduka Seri Afzaa Fadini binti Dato’ Abdul Aziz, telah dikurniakan seorang puteri yang diberi nama Yang Mulia Tengku Alia Amira pada 21 Julai 2026 di Selangor.
Berita gembira mengenai kelahiran cahaya mata sulung pasangan diraja itu dikongsikan menerusi halaman Instagram rasmi Raja Muda Selangor @rmselangor.
Menurut perkongsian berkenaan, YM Datin Paduka Seri Afzaa Fadini dan YM Tengku Alia Amira berada dalam keadaan sihat.
Kelahiran tersebut menjadi satu rahmat dan anugerah yang amat bermakna buat pasangan diraja berkenaan selepas mereka melangsungkan istiadat pernikahan pada 2 Oktober 2025 di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah, Klang.
Perkhabaran itu turut disambut dengan penuh kegembiraan oleh rakyat Selangor yang menzahirkan ucapan tahniah dan doa buat DYTM Raja Muda Selangor serta seluruh keluarga diraja.
Rata-rata mendoakan agar YM Tengku Alia Amira sentiasa dikurniakan kesihatan, kebijaksanaan dan kesejahteraan, selain terus dipelihara di bawah rahmat serta kasih sayang Allah SWT.
Merafak sembah setinggi-tinggi tahniah kepada DYTM Raja Muda Selangor dan YM Datin Paduka Seri Afzaa Fadini atas kelahiran puteri sulung, YM Tengku Alia Amira.
