Agong Zahir Harapan Kerajaan Negeri Johor Jalankan Amanah Penuh Dedikasi
KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim hari ini berkenan menerima menghadap Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, dalam satu pertemuan yang berlangsung di Johor Bahru.
Menerusi hantaran di Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Seri Paduka Baginda telah disembah maklum mengenai beberapa perkara berkaitan pentadbiran Kerajaan Negeri Johor susulan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16 yang berlangsung baru-baru ini.
Turut dibincangkan ialah hala tuju pentadbiran negeri serta perancangan pembangunan Johor bagi tempoh akan datang.
“Sultan Ibrahim turut menzahirkan harapan agar Kerajaan Negeri Johor yang telah diberi mandat oleh rakyat menjalankan amanah dan tanggungjawab dengan penuh dedikasi, berintegriti serta bersungguh-sungguh dalam melaksanakan setiap dasar dan inisiatif demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan Johor,” menurut hantaran itu.
Pada PRN Johor Ke-16 Sabtu lalu, Barisan Nasional (BN) berjaya mengekalkan pentadbiran negeri selepas memenangi 48 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Keputusan itu menyaksikan BN membentuk semula kerajaan negeri dengan majoriti lebih besar apabila menambah lapan kerusi berbanding 40 kerusi yang dimenangi pada PRN Johor 2022, sekali gus menguasai majoriti dua pertiga Dewan Undangan Negeri Johor.
