ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

Dunia

Angka Kematian Rakyat Palestin Meningkat Ke 73,223 Sejak Perang Bermula

KUALA LUMPUR – Jumlah rakyat Palestin yang terkorban di Semenanjung Gaza sejak gencatan senjata berkuat kuasa selama 276 hari meningkat kepada 1,100 orang, menjadikan keseluruhan angka kematian akibat konflik Israel-Hamas sejak Oktober 2023 kini mencecah 73,223 orang.

Perkara itu dinyatakan dalam laporan situasi mingguan terbaharu yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri Palestin.

Menurut laporan berkenaan, operasi ketenteraan Israel masih diteruskan di beberapa kawasan di Gaza walaupun gencatan senjata sedang berjalan. Serangan berterusan, sekatan terhadap bantuan kemanusiaan serta kemusnahan infrastruktur awam dilaporkan terus memburukkan krisis kemanusiaan di wilayah itu.

“Serangan ketenteraan Israel yang berterusan, pengepungan dan arahan pemindahan berulang kali terus mewujudkan keadaan hidup yang sukar bagi rakyat Palestin di Gaza.

“Lebih 1.9 juta penduduk masih kehilangan tempat tinggal, kebanyakannya berpindah berulang kali, manakala pusat perlindungan yang sesak berdepan masalah kumbahan tidak dirawat, pengumpulan sisa pepejal, pencemaran air, serangan tikus dan keruntuhan perkhidmatan asas,” menurut laporan itu.

Laporan berkenaan turut merekodkan beberapa serangan sepanjang tempoh pelaporan, termasuk serangan udara di kawasan Tel al-Hawa, Gaza City yang mengorbankan dua penduduk termasuk seorang kanak-kanak.

Serangan berasingan di Khan Younis dan Gaza City pula dilaporkan meragut enam lagi nyawa, termasuk dua kanak-kanak.

Selain itu, serangan dron Israel ke atas sebuah kenderaan awam di barat Gaza City mengorbankan seorang lagi penduduk Palestin, manakala serangan dron di Hospital Kamal Adwan di utara Gaza menyebabkan sekurang-kurangnya tiga petugas kesihatan cedera, sekali gus menambah tekanan terhadap sistem perubatan yang sedia terjejas.

Di Tebing Barat yang diduduki, kerajaan Palestin mendakwa keadaan turut semakin membimbangkan dengan memetik laporan organisasi Israel, Peace Now dan Kerem Navot, yang mendakwa kerajaan Israel mempercepat proses pengilhakan secara de facto menerusi peluasan penempatan, pemberian tanah serta perubahan struktur pentadbiran.

Menurut laporan itu, sebanyak 185 pos penempatan baharu diwujudkan, lebih 40,000 unit penempatan dirancang untuk dibina, manakala lebih 1.1 juta dunam tanah diletakkan di bawah kawalan peneroka dalam tempoh tiga tahun pertama pentadbiran kerajaan Israel ketika ini.

Laporan sama turut memetik data Gabungan Wartawan Palestin yang merekodkan 89 dakwaan pelanggaran terhadap wartawan dan petugas media sepanjang Jun lalu, termasuk pembunuhan, penahanan, serangan fizikal, penahanan sewenang-wenangnya serta sekatan terhadap liputan media.

Sementara itu, beberapa pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa pembebasan segera Pengarah Hospital Kamal Adwan, Dr Hussam Abu Safiya, bersama petugas kesihatan Palestin lain yang ditahan, dengan menyifatkan tindakan itu sebagai sebahagian daripada sasaran sistematik terhadap sektor kesihatan di Gaza.

Sehingga kini, laporan itu menyatakan sekurang-kurangnya 173,654 rakyat Palestin cedera sepanjang konflik berkenaan, manakala lebih 11,200 lagi masih dilaporkan hilang.

Konflik yang berlarutan hampir tiga tahun itu turut mengorbankan lebih 1,700 petugas kesihatan serta 262 wartawan, menurut data yang dikemukakan dalam laporan tersebut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *