Kerajaan akan segera mengusir rakyat Israel yang didakwa memiliki dua kewarganegaraan dan menetap di negara ini
KUALA LUMPUR – Kerajaan akan mengambil tindakan mengusir serta-merta mana-mana warga Israel yang dikesan berada di Malaysia sekiranya siasatan mendapati mereka memasuki negara ini menggunakan dua kerakyatan atau melanggar undang-undang imigresen.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia kekal dengan pendirian tidak mengiktiraf Israel dan tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan negara itu. Justeru, rakyat Israel tidak dibenarkan memasuki Malaysia, kecuali dalam keadaan tertentu yang mendapat kelulusan khas daripada kerajaan.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan mengenai kewujudan individu dipercayai warga Israel yang menetap di Forest City, Johor dengan menggunakan kerakyatan kedua.
Menurut Anwar, perkara itu kini sedang disiasat oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Imigresen Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengenal pasti status sebenar individu yang terbabit.
“Kita sedang meneliti perkara itu. Jika benar mereka adalah warga Israel, tindakan sewajarnya termasuk mengusir mereka dari negara ini akan diambil dengan segera,” katanya.
Beliau turut menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang cuba memasuki Malaysia secara tidak sah atau menyalahgunakan status kerakyatan bagi mengelakkan pemeriksaan pihak berkuasa.
Isu berkenaan tercetus selepas tular dakwaan terdapat komuniti warga Israel yang tinggal di kawasan Network School, Forest City, Johor dengan menggunakan pasport negara lain.
Susulan dakwaan itu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengarahkan siasatan menyeluruh dijalankan oleh KDN, Jabatan Imigresen, PDRM serta agensi berkaitan bagi mengesahkan identiti, status kewarganegaraan dan pematuhan undang-undang oleh penghuni di kawasan berkenaan.
Kerajaan menegaskan hasil siasatan akan menentukan tindakan selanjutnya, namun memberi jaminan bahawa keselamatan negara dan dasar luar Malaysia yang tidak mengiktiraf Israel akan terus dipertahankan tanpa sebarang kompromi.
