Kes Tikam Di Sekolah: Remaja Perempuan Dihantar Ke Hospital Bahagia
KUALA LANGAT – Seorang remaja perempuan berusia 15 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret Telok Datok di sini hari ini atas pertuduhan cuba membunuh seorang rakan sekolahnya dalam kejadian tikaman di sebuah sekolah menengah di Banting, Isnin lepas.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang merupakan pesalah juvana itu sementara menunggu laporan penilaian psikiatri.
Prosiding yang dijalankan secara tertutup di hadapan Majistret Maslinda Selamat turut dihadiri ahli keluarga tertuduh.
Mahkamah membenarkan permohonan pihak pendakwaan supaya tertuduh menjalani pemeriksaan mental di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak.
Mengikut pertuduhan, pelajar Tingkatan Tiga itu didakwa cuba membunuh seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun dengan menggunakan sebilah pisau sehingga menyebabkan kecederaan, dengan niat menyebabkan kematian.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah sekolah menengah di Banting pada kira-kira 9.50 pagi, 6 Julai lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amirul Syafiq Yazid memaklumkan pihak pendakwaan tidak membantah permohonan supaya tertuduh, yang dilaporkan menghidap autisme, menjalani pemeriksaan mental mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.
Mahkamah menetapkan 11 Ogos depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan pemeriksaan mental.
Prosiding tidak dibuka kepada media kerana melibatkan tertuduh juvana.
Sebelum ini, media melaporkan seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun cedera selepas dipercayai ditikam sebanyak 16 kali oleh rakan sekolahnya menggunakan sebilah pisau di kantin sekolah ketika waktu rehat.
Mangsa dilaporkan mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan termasuk paru-paru dan kini masih menerima rawatan di hospital.
