ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

Sudut Abiqverse

Anwar, Anutin Adakan Mesyuarat Bilateral Perkukuh Kerjasama Malaysia-Thailand

PUTRAJAYA – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengadakan mesyuarat dua hala dengan Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul bagi menilai perkembangan hubungan Malaysia-Thailand serta memperkukuh kerjasama dalam pelbagai bidang berkepentingan bersama.

Anutin, yang memulakan lawatan rasmi selama dua hari ke Malaysia atas jemputan Anwar, tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 11.11 pagi sebelum disambut Perdana Menteri dan dibawa ke Kompleks Perdana Putra untuk mesyuarat berkenaan.

Dalam pertemuan itu, kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan kerjasama meliputi perdagangan dan pelaburan, kesalinghubungan sempadan, keselamatan, pertanian, pelancongan, pendidikan serta hubungan antara rakyat.

Mereka turut dijangka bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama, khususnya dalam kerangka ASEAN serta mekanisme kerjasama serantau lain.

Delegasi Malaysia disertai Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pengangkutan Anthony Loke; Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu; Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan serta Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Delegasi Thailand pula dianggotai Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Sihasak Phuangketkeow; Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pengangkutan Phiphat Ratchakitprakarn; Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Ekniti Nitithanprapas; Menteri Pelancongan dan Sukan Surasak Phancharoenworakul; Menteri Pertahanan Leftenan Jeneral Adul Boonthumjaroen; Menteri Pertanian dan Koperasi Suriya Juangroongruangkit serta Menteri Buruh Julapun Amornvivat.

Sejurus selesai mesyuarat dua hala itu, Anwar dan Anutin dijadual menyaksikan majlis menandatangani dan bertukar Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai kerjasama dalam bidang pertanian sebagai usaha memperkukuh hubungan kedua-dua negara dalam sektor tersebut.

Anwar kemudiannya akan menjadi tuan rumah kepada majlis makan tengah hari rasmi bagi meraikan Anutin dan delegasinya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *