Sultan Selangor titah LRT3 hasil kesinambungan pelbagai pentadbiran, bukan usaha satu pihak
SHAH ALAM, 1 Julai – Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menegaskan kejayaan pelaksanaan Laluan LRT3 Shah Alam adalah hasil kesinambungan perancangan, komitmen dan kerjasama merentasi beberapa pentadbiran, dan tidak wajar dikreditkan kepada mana-mana pihak secara bersendirian.
Dalam titah perutusan sempena kejayaan pelaksanaan projek itu, baginda bertitah pembinaan LRT3 akhirnya dapat direalisasikan demi manfaat dan kesejahteraan rakyat Selangor, khususnya penduduk di Shah Alam, Klang serta kawasan sekitarnya.
Baginda turut merakamkan penghargaan kepada bekas Perdana Menteri, Najib Razak, kerana menerima cadangan baginda pada tahun 2015 untuk membina rangkaian rel yang menghubungkan Klang, Shah Alam dan Kuala Lumpur.
Menurut baginda, cadangan tersebut dikemukakan selepas menerima banyak aduan daripada penduduk, terutama suri rumah, mengenai kesukaran ahli keluarga mereka yang sering pulang lewat akibat kesesakan lalu lintas di Lebuhraya Persekutuan.
Baginda berkata, pentadbiran ketika itu turut mengambil langkah mengurangkan kesesakan dengan memansuhkan Plaza Tol Batu Tiga dan Plaza Tol Sungai Rasau pada 2018.
Dalam titah sama, Sultan Selangor turut menyentuh kelewatan pelaksanaan projek selepas pertukaran kerajaan pada 2018, yang menurut baginda tergendala lebih 18 bulan sebelum berdepan tambahan kelewatan selama 19 bulan akibat pandemik COVID-19.
Baginda bertitah, ketika Lim Guan Eng menerajui Kementerian Kewangan bersama Tony Pua sebagai penasihat, beberapa skop projek telah dikurangkan termasuk mengecilkan saiz stesen, mengurangkan jumlah gerabak serta membatalkan lima cadangan stesen atas alasan penjimatan kos.
Menurut baginda, LRT3 bukanlah projek mega untuk bermegah-megah, sebaliknya dibangunkan bagi memenuhi keperluan pengangkutan awam dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Sultan Selangor turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, kerana meneruskan projek berkenaan selepas mengambil alih pentadbiran negara.
Baginda bertitah, kerajaan di bawah pimpinan Anwar bersetuju mengembalikan semula lima stesen yang sebelum ini dibatalkan, selain merancang pembinaan rumah mampu milik berhampiran kawasan stesen dan laluan LRT3 bagi memberi manfaat tambahan kepada rakyat.
Baginda juga berharap LRT3 dapat mengurangkan kesesakan jalan raya dengan menyediakan pilihan pengangkutan yang lebih pantas, selesa dan selamat kepada penduduk Klang dan Shah Alam yang berulang-alik ke Kuala Lumpur.
Pada masa sama, baginda berharap pihak Prasarana Malaysia Berhad dapat memastikan penyelenggaraan laluan LRT3 dilaksanakan dengan baik supaya perkhidmatan terus beroperasi secara lancar.
Mengakhiri titah, Sultan Selangor menegaskan bahawa kejayaan pelaksanaan LRT3 merupakan hasil kesinambungan dasar dan kerjasama pelbagai pihak merentasi beberapa pentadbiran demi kepentingan rakyat Selangor, selain berharap projek itu menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan hubungan antara Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Shah Alam dan Klang.
