Serangan Buaya Di Lahad Datu, Lelaki 20 Tahun Maut Ketika Ambil Pukat
LAHAD DATU – Seorang lelaki berusia 20 tahun maut selepas dipercayai dibaham buaya ketika mengambil pukat yang dipasang di kawasan laut Kampung Mundas, Tungku, dekat sini pada Selasa.
Mangsa ditemukan kira-kira jam 10 pagi dalam keadaan terapung dan tidak bernyawa di kawasan pantai kampung berkenaan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintenden Jimmy Panyau berkata, siasatan awal mendapati mangsa keluar ke laut sekitar jam 7 pagi bagi mengambil hasil laut daripada pukat yang dipasangnya pada Isnin.
Menurut beliau, kejadian dipercayai berlaku apabila seekor buaya muncul secara tiba-tiba sebelum menyerang mangsa.
“Mangsa ditemukan semula dalam keadaan terapung dan sudah tidak bernyawa di kawasan pantai kampung tersebut.
“Mangsa keluar untuk mengambil hasil laut daripada pukat yang dipasangnya pada Isnin,” katanya dalam kenyataan.
Susulan kejadian itu, ahli keluarga bersama penduduk kampung menjalankan pencarian sebelum mangsa akhirnya ditemukan di lokasi berkenaan.
Polis mengklasifikasikan kes tersebut sebagai mati mengejut.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Sub-Inspektor Mohd Tahir Radin Hassan di talian 089-881255 atau tampil ke balai polis berhampiran.
Dalam masa sama, polis turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada ketika melakukan aktiviti di kawasan laut atau sungai bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Kejadian ini berlaku tidak lama selepas satu lagi tragedi di daerah sama, apabila seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun dilaporkan maut akibat dibaham buaya di sungai Kampung Tagupi, Lahad Datu.
