ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

Politik

Anwar Kekal Pemimpin Politik Raih Sokongan Tertinggi

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terus mencatat kadar sokongan tertinggi dalam kalangan pemimpin politik negara apabila memperoleh penarafan positif sebanyak 52 peratus, menurut tinjauan terbaharu Merdeka Center yang dikeluarkan semalam.

Tinjauan yang dijalankan antara 12 Mac hingga 9 April lalu itu turut mendapati 42 peratus pengundi berpendapat Malaysia berada di landasan yang betul walaupun berdepan ketidaktentuan global serta cabaran ekonomi semasa.

Menurut Merdeka Center, kadar tersebut kekal tidak berubah berbanding tinjauan yang dijalankan pada Disember 2025 dan Februari 2026.

Berdasarkan pecahan etnik, sebanyak 39 peratus responden Melayu berpandangan negara berada di landasan yang betul, diikuti responden Cina (50 peratus) dan India (33 peratus).

Mengikut kumpulan umur pula, responden berusia antara 21 hingga 30 tahun mencatatkan tahap keyakinan tertinggi dengan 57 peratus, manakala kumpulan berusia 51 hingga 60 tahun paling rendah, iaitu 32 peratus.

Dari segi tahap kepuasan terhadap Kerajaan Persekutuan, sebanyak 50 peratus responden menyatakan mereka berpuas hati, manakala 48 peratus lagi tidak berpuas hati.

Mengikut kumpulan etnik, tahap kepuasan tertinggi direkodkan dalam kalangan Bumiputera Muslim dan bukan Muslim dari Sabah dan Sarawak sebanyak 68 peratus, diikuti responden Cina (53 peratus), India (46 peratus) dan Melayu (44 peratus).

Responden berusia 21 hingga 30 tahun turut mencatatkan tahap kepuasan tertinggi terhadap kerajaan apabila 64 peratus daripada mereka menyatakan sokongan kepada Kerajaan Persekutuan.

Tinjauan itu juga menunjukkan sokongan terhadap agenda reformasi institusi kekal kukuh, termasuk cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada maksimum dua penggal atau 10 tahun, pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya serta pelaksanaan pilihan raya secara langsung bagi jawatan Datuk Bandar Kuala Lumpur.

Menurut Merdeka Center, sokongan terhadap cadangan reformasi politik itu menunjukkan perbezaan yang kecil antara responden Melayu dan bukan Melayu, sekali gus menggambarkan penerimaan yang meluas merentasi pelbagai kaum.

Tinjauan berkenaan melibatkan 1,209 pengundi yang terdiri daripada 51 peratus responden Melayu, 27 peratus Cina, lapan peratus India, tujuh peratus Bumiputera Muslim serta tujuh peratus Bumiputera bukan Muslim dari Sabah dan Sarawak.

Kajian dijalankan menerusi temu bual telefon menggunakan kaedah persampelan rawak berstrata bagi memastikan sampel mencerminkan komposisi demografi pengundi di Malaysia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *