NEWS · NEUTRAL POLITICS · ENTERTAINMENT · LIFESTYLE PORTAL

NEWS · NEUTRAL POLITICS · ENTERTAINMENT · LIFESTYLE PORTAL

Malaysia

Tribunal Antibuli: Ibu Bapa Pembuli Boleh Dihukum, Pampasan Mangsa Sehingga RM250,000

KUALA LUMPUR – Ibu bapa kepada pelaku buli boleh dikenakan liabiliti bersama sekiranya anak mereka didapati bersalah oleh Tribunal Antibuli, selaras dengan peruntukan di bawah Akta Antibuli 2026 (Akta 876).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pendekatan itu diperkenalkan bagi memastikan keluarga pelaku turut bertanggungjawab terhadap kesalahan yang dilakukan, sekali gus meningkatkan kesedaran mengenai peranan ibu bapa dalam membentuk sahsiah anak-anak.

Menurut beliau, Akta 876 berbeza daripada kebanyakan kes jenayah lain kerana bukan sahaja meletakkan tanggungjawab terhadap pelaku, malah memperuntukkan konsep liabiliti bersama yang melibatkan keluarga.

“Akta ini memperkenalkan klausa tanggungjawab yang membolehkan pembayaran denda atau liabiliti tertentu turut mengikat ibu bapa atau keluarga pelaku.

“Kita memperkenalkan konsep joint liability bagi memastikan tanggungjawab terhadap kes buli tidak hanya ditanggung oleh pelaku semata-mata,” katanya pada sidang media selepas pelancaran Tribunal Antibuli di sini pada Selasa.

Turut hadir Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zamri Misman; serta Presiden Tribunal Antibuli, Nurul Husna Awang.

Pada Selasa, kerajaan secara rasmi melancarkan Tribunal Antibuli 2026 serentak dengan penguatkuasaan Akta Antibuli 2026 bagi memperkukuh perlindungan kanak-kanak daripada sebarang bentuk buli dan keganasan.

Akta tersebut berjaya dilaksanakan kurang setahun selepas diluluskan Parlimen pada Oktober tahun lalu.

Azalina berkata, penggubalan undang-undang khusus itu dibuat susulan peningkatan kes buli yang membimbangkan, dengan lebih 14,000 kes direkodkan di institusi pendidikan seluruh negara.

“Dengan adanya tribunal ini, portal aduan dalam talian dan kemudahan prosiding yang disediakan, ia menghantar mesej jelas bahawa buli bukan perkara kecil dan boleh diambil tindakan melalui saluran undang-undang yang sewajarnya.

“Sekolah dan institusi pendidikan kekal menjadi barisan hadapan dalam menangani isu buli, manakala tribunal berperanan sebagai mekanisme penyelesaian sekiranya aduan tidak dapat diselesaikan dengan berkesan di peringkat institusi,” katanya.

Beliau berkata, tribunal berkenaan mempunyai kuasa mengeluarkan pelbagai perintah termasuk pampasan, permohonan maaf serta arahan menghadiri program pemulihan bagi membantu memutuskan kitaran buli dan mengelakkan kejadian berulang.

Katanya, buat masa ini Akta Antibuli 2026 terpakai kepada individu berusia 18 tahun ke bawah, namun kerajaan akan terus menilai keperluan untuk memperluaskan skop pelaksanaannya pada masa hadapan.

Sementara itu, Nurul Husna memaklumkan Seksyen 43 Akta 876 memperuntukkan pampasan sehingga RM250,000 kepada mangsa yang terjejas akibat perbuatan buli.

Menurutnya, tribunal juga boleh mengarahkan pelaku membuat permohonan maaf, memadam kandungan siber yang berkaitan, membayar kos munasabah yang ditanggung mangsa, membayar ganti rugi atau menghadiri sesi kaunseling.

“Semua prosiding tribunal dijalankan secara tertutup dan mesra kanak-kanak sama ada secara fizikal, dalam talian atau hibrid bagi memastikan kebajikan serta privasi pihak yang terlibat terus terpelihara,” katanya.

Beliau berkata, ibu pejabat Tribunal Antibuli akan beroperasi di Kuala Lumpur, namun prosiding boleh dijalankan di seluruh negara termasuk di sekolah, premis agensi berkaitan dan secara dalam talian bagi memudahkan akses kepada mangsa serta keluarga mereka.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *