Selepas ‘Perang’, Onn Hafiz Dan Anthony Loke Akhirnya Bersemuka
KULAI – Selepas beberapa hari saling berbalas kenyataan di media sosial, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, akhirnya bertemu dalam Majlis Peluncuran Operasi Perkhidmatan Shuttle Selatan di Stesen Kereta Api Kulai di sini pada Selasa.
Loke tiba di lokasi sekitar jam 12.45 tengah hari bagi menghadiri majlis anjuran Kementerian Pengangkutan itu, sebelum disusuli ketibaan Onn Hafiz kira-kira lima minit kemudian.
Turut hadir Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh, serta beberapa pemimpin DAP.
Kedua-dua pemimpin itu dilihat bersalaman dan beramah mesra sebelum menyampaikan ucapan masing-masing pada majlis berkenaan.
Dalam ucapannya, Onn Hafiz mengalu-alukan kehadiran Loke dan delegasinya ke Johor serta memaklumkan beliau telah menyusun semula jadual tugas selepas menerima jemputan menghadiri program tersebut.
“Walau apa pun keadaannya, kita perlu kekal profesional dan bertanggungjawab dalam melaksanakan amanah sebagai kerajaan demi kesejahteraan rakyat, khususnya di Johor,” katanya.
Pertemuan itu berlaku selepas tercetus pertikaman lidah antara kedua-dua pemimpin susulan kenyataan Onn Hafiz pada Majlis Pelancaran Jentera Barisan Nasional (BN) Johor di Iskandar Puteri pada 7 Jun lalu.
Ketika itu, Pengerusi BN Johor berkenaan menyatakan bahawa BN Johor tidak akan bekerjasama dengan DAP sekiranya gabungan itu membentuk kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Beliau turut menegaskan sanggup melepaskan jawatan Menteri Besar daripada bekerjasama dengan DAP dalam pentadbiran kerajaan negeri.
Pada hari yang sama, Loke yang juga Setiausaha Agung DAP membalas kenyataan tersebut dengan menyifatkan pendirian itu tidak selari dengan realiti politik semasa, memandangkan BN dan DAP sama-sama berada dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.
Susulan itu, Loke mengundang Onn Hafiz untuk bersama-sama menghadiri pelancaran perkhidmatan KTM Komuter baharu yang berlangsung hari ini.
Onn Hafiz kemudiannya menyatakan beliau berasa “terharu” dengan jemputan tersebut, namun mendakwa belum menerima surat rasmi walaupun jadual lawatan kerja ke program berkenaan telah dirancang lebih awal.
Beliau turut membangkitkan bahawa beberapa lawatan kerja melibatkan projek Kementerian Pengangkutan di Johor sebelum ini tidak membabitkan penyertaan beliau atau Exco kerajaan negeri yang berkaitan.
Mengulas perkara itu, Loke menjelaskan bahawa beliau lazimnya tidak mengundang Menteri Besar ke lawatan kerja kementerian kerana memahami komitmen dan kesibukan tugas yang perlu diuruskan oleh ketua kerajaan negeri.
