NEWS · NEUTRAL POLITICS · ENTERTAINMENT · LIFESTYLE PORTAL

NEWS · NEUTRAL POLITICS · ENTERTAINMENT · LIFESTYLE PORTAL

Malaysia

Malaysia Siap Siaga Hadapi Cuaca Panas, Risiko Jerebu Akibat El Nino Kuat

PUTRAJAYA – Agensi kerajaan di peringkat Persekutuan dan negeri kini memperkukuh tahap kesiapsiagaan bagi menghadapi fenomena El Nino berintensiti kuat yang dijangka berlarutan sehingga awal tahun hadapan.

Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) memaklumkan pelbagai strategi serta langkah persediaan telah dibentangkan oleh agensi berkaitan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Induk Jerebu dan Cuaca Kering Kebangsaan (JIJCKK) Bilangan 1 Tahun 2026 yang berlangsung di sini pada Isnin.

Menurut NRES, fenomena El Nino berpotensi menyebabkan pengurangan taburan hujan serta cuaca yang lebih panas dan kering daripada kebiasaan, sekali gus memberi kesan kepada sektor pertanian, paras air empangan, risiko pembakaran terbuka dan kejadian jerebu yang boleh menjejaskan kesihatan awam.

Sehubungan itu, JIJCKK bersetuju supaya semua jabatan dan agensi berkaitan mengadakan mesyuarat penyelarasan bagi memastikan tindakan awal dapat dilaksanakan secara berkesan, selain mempertingkat usaha pemantauan dan pencegahan bagi mengawal pembakaran terbuka, jerebu serta kebakaran berulang.

“Kesiapsiagaan infrastruktur di kawasan tanah gambut, aset logistik dan sumber manusia perlu dipastikan berada pada tahap optimum supaya sebarang kejadian kebakaran dapat ditangani dengan segera serta mengelakkan berlakunya jerebu tempatan,” menurut kenyataan itu.

NRES turut memaklumkan bahawa Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan memperkukuhkan persediaan dari segi logistik dan tenaga kerja bagi menghadapi impak cuaca kering sepanjang Monsun Barat Daya.

Pada masa sama, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) turut diarahkan berada dalam keadaan siap siaga untuk melaksanakan Operasi Pembenihan Awan (OPA) di kawasan terjejas, tertakluk kepada kesesuaian keadaan atmosfera.

Dalam pada itu, NRES mengingatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka atau membiarkan tanah serta premis diceroboh sehingga mencetuskan kebakaran.

“Tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang menyebabkan pembakaran terbuka termasuk pemilik tanah,” katanya.

Mengikut Seksyen 29A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, individu yang didapati bersalah boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali. Selain itu, kompaun sehingga RM500,000 boleh dikenakan bagi setiap kesalahan.

Sementara itu, NRES memaklumkan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup akan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Kumpulan Kerja Teknikal (TWG) dan Jawatankuasa Pemandu Menteri-Menteri Sub-Serantau (MSC) Mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan ke-27 di Bali, Indonesia pada 8 dan 9 Julai ini.

Menurut kementerian itu, negara-negara anggota MSC dijadual membentangkan pelbagai strategi dan inisiatif pencegahan kebakaran hutan serta tanah, manakala Malaysia akan mengemukakan cadangan penambahbaikan terhadap pelaksanaan Perjanjian ASEAN Mengenai Jerebu Rentas Sempadan dalam mesyuarat berkenaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *