NEWS · NEUTRAL POLITICS · ENTERTAINMENT · LIFESTYLE PORTAL

NEWS · NEUTRAL POLITICS · ENTERTAINMENT · LIFESTYLE PORTAL

Politik

Hadi Sahkan Ada Pertemuan PAS-UMNO, Sokong MN 2.0 Diteruskan Semula

MARANG – Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengesahkan beliau dimaklumkan mengenai pertemuan antara beberapa pimpinan parti itu dengan UMNO yang berlangsung di ibu negara semalam.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Marang itu menjelaskan beliau tidak menghadiri pertemuan berkenaan dan menyifatkannya sebagai satu perjumpaan biasa.

“Saya tidak hadir dalam pertemuan itu, tetapi saya dimaklumkan mengenainya.

“Pertemuan seperti itu adalah perkara biasa. Kita sentiasa bersedia bertemu dengan mana-mana pihak yang ingin berbincang dengan kita,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah di Masjid Rusila, hari ini.

Mengulas cadangan menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN), Abdul Hadi berkata usaha tersebut selari dengan matlamat PAS untuk memperkukuh perpaduan politik Melayu dan umat Islam di negara ini.

Menurut beliau, perjuangan PAS berteraskan penyatuan masyarakat Melayu Islam yang disifatkan sebagai kelompok penting dalam kepimpinan negara.

“Usaha membentuk Muafakat Nasional 2.0 perlu diteruskan, namun pada masa yang sama ia juga perlu mengambil kira realiti masyarakat majmuk negara ini.

“Ia bukan sekadar melibatkan parti-parti Melayu Islam atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sebaliknya perlu turut memberi ruang kepada golongan berpengaruh dalam masyarakat Islam bagi memperkukuh agenda penyatuan ummah,” katanya.

Semalam, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan menyatakan bahawa kerjasama politik antara parti-parti Melayu wajar dihidupkan semula demi masa depan bangsa dan umat Islam.

Menurut Ahli Parlimen Kubang Kerian itu, PAS berpandangan sudah tiba masanya gagasan Muafakat Nasional diberi nafas baharu bagi memperkukuh kedudukan politik Melayu dan umat Islam menjelang beberapa Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal berlangsung, termasuk di Johor dan Negeri Sembilan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *