NEWS · NEUTRAL POLITICS · ENTERTAINMENT · LIFESTYLE PORTAL

NEWS · NEUTRAL POLITICS · ENTERTAINMENT · LIFESTYLE PORTAL

Malaysia

“Maaf Jika Adik Min Pernah Melukakan Hati Kalian” – Kakak Jaslinda

KUALA LUMPUR – Keluarga pendaki wanita yang hilang di Gunung Batu Putih, Tapah, Jaslinda Saludin, 49, meluahkan rasa kecewa terhadap sikap segelintir pengguna media sosial yang didakwa membuat pelbagai andaian serta tuduhan tanpa mengetahui keadaan sebenar yang dihadapi keluarga mangsa.

Kakak Jaslinda, Jasima Saludin berkata, kehilangan adiknya merupakan ujian yang amat berat buat keluarga dan mereka kini turut berdepan tekanan emosi akibat komen negatif yang tular di media sosial.

Menurutnya, ramai netizen terlalu cepat menghukum dan membuat kesimpulan tanpa memahami keseluruhan situasi yang berlaku.

“Selepas apa yang kami lalui sejak beberapa hari lalu, saya benar-benar menyedari betapa kejamnya dunia media sosial. Ramai yang mudah membuat andaian dan memberikan pandangan tanpa mengetahui kisah sebenar.

“Setiap komen yang ditulis memberi kesan kepada kami sekeluarga yang sedang berusaha menahan kesedihan dan keresahan,” katanya menerusi satu hantaran di TikTok.

Jasima, yang mesra dipanggil Min, berkata pengalaman berdepan pelbagai reaksi masyarakat maya membuka matanya tentang pentingnya sifat empati dan belas ihsan ketika memberi pandangan terhadap sesuatu isu.

Katanya, di sebalik setiap kisah yang tular, terdapat individu dan keluarga yang sedang berdepan kesedihan serta penderitaan.

“Kita hidup dalam dunia yang membolehkan pendapat disebarkan dengan pantas, namun empati sering diketepikan. Pengalaman ini mengajar saya bahawa memahami keadaan seseorang sepatutnya didahulukan sebelum menghukum,” katanya.

Dalam hantaran sama, beliau turut memohon maaf sekiranya adiknya pernah melakukan kesilapan atau menyinggung perasaan mana-mana pihak sebelum ini.

“Maaf jika adik saya pernah melukakan hati sesiapa. Hanya Allah yang mampu membalas jasa semua yang terus mendoakan dan membantu usaha pencarian Jaslinda,” katanya.

Hantaran tersebut menerima pelbagai reaksi positif daripada pengguna media sosial yang turut menzahirkan sokongan dan mendoakan agar Jaslinda segera ditemui.

Setakat ini, operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih diteruskan dengan penglibatan pelbagai agensi penyelamat serta bantuan komuniti Orang Asli di kawasan berkenaan.

Sebelum ini, Jaslinda dilaporkan menyertai ekspedisi pendakian Trans Spencer Chapman bersama 13 peserta lain dan dua Malim Gunung Perhutanan (MGP) pada 23 Mei lalu melalui laluan Pos Gedung–Gunung Bah Gading–Gunung Batu Putih–Kuala Woh.

Beliau dan seorang lagi peserta, Mohd Hanafi Neikmad, 41, dilaporkan mengalami masalah kesihatan dan berhenti seketika sepanjang pendakian.

Bagaimanapun, Jaslinda dipercayai meneruskan perjalanan ke puncak gunung dan kali terakhir dilihat oleh MGP pada jam 7.30 pagi, 24 Mei lalu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *