Kerbau Mengamuk: Arwah Sempat Berjalan Ke Kenderaan Sebelum Pengsan
JOHOR BAHRU – Seorang lelaki yang maut selepas ditanduk kerbau ketika membuat persiapan ibadah korban di Kampung Tenang, Ulu Tiram semalam sempat berjalan sendiri menuju ke kenderaannya sebelum rebah akibat kecederaan parah.
Anak saudara mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Mira, berusia lingkungan 30-an, berkata Ahmad Shah Meerasa, 45, masih mampu menggagahkan diri bergerak walaupun mengalami kecederaan serius pada bahagian paha selepas diserang haiwan berkenaan.
Menurutnya, mangsa tercampak akibat rempuhan kerbau itu dan kehilangan banyak darah, namun tetap berjalan ke arah kenderaan sebelum naik ke bahagian but belakang dan berbaring sementara menunggu bantuan untuk dibawa ke hospital.
“Ketika kejadian, ada ahli keluarga yang sedang menjamu selera dan ada yang mencuci pinggan. Arwah bersama beberapa individu lain pula sedang mengikat tali pada kerbau tersebut.
“Secara tiba-tiba kerbau itu mengamuk dan berpusing sebelum menanduk paha arwah. Seluar yang dipakai turut koyak sehingga ke bahagian atas dan darah keluar dengan banyak,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, kejadian kira-kira jam 10 pagi itu turut menyebabkan dua individu lain cedera selepas diseret oleh kerbau berkenaan.
Menurutnya, haiwan itu masih belum dikorbankan kerana penduduk kampung masih terkesan dan terkejut dengan tragedi yang berlaku.
Mira menjelaskan bapa saudaranya bukan penyembelih, sebaliknya hanya membantu menguruskan persiapan ibadah korban yang dilakukan oleh tujuh beradik termasuk mangsa sendiri.
Allahyarham yang merupakan bapa kepada tiga orang anak disahkan meninggal dunia pada jam 11 malam di Hospital Sultanah Aminah (HSA).
Mangsa dilaporkan meninggal dunia akibat kecederaan vaskular pada kaki kiri yang menyebabkan kehilangan darah yang serius.
Polis mengklasifikasikan kes tersebut sebagai mati mengejut (SDR) dan mengesahkan tiada unsur jenayah dikenal pasti.
Kes berkenaan telah dirujuk kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Johor untuk tindakan lanjut.
