Majlis Persandingan Arif Aiman, Nurul Aliah Natasha Berlangsung Meriah
ISKANDAR PUTERI – Majlis persandingan bintang sensasi Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi bersama isterinya, Nurul Aliah Natasha Md Hairushahri berlangsung meriah di Puteri Harbour malam tadi.
Majlis resepsi pasangan pengantin baharu itu turut diserikan dengan keberangkatan Tunku Mahkota Ismail bersama isteri, Che’ Puan Mahkota Khaleeda.
Tunku Mahkota Ismail yang juga pemilik JDT turut berkongsi beberapa keping gambar sekitar majlis menerusi laman Facebook rasmi baginda yang memaparkan pasangan mempelai tampil segak dan anggun mengenakan busana tradisional Melayu.
Majlis persandingan itu difahamkan dihadiri ahli keluarga serta kenalan rapat kedua-dua belah pihak dalam suasana penuh meriah dan sederhana.
Terdahulu, Arif Aiman dan pasangannya selamat diijabkabulkan dalam satu majlis akad nikah yang berlangsung di Johor Bahru pada sebelah pagi.
Ruangan komen media sosial turut dibanjiri ucapan tahniah serta doa daripada penyokong Harimau Selatan dan peminat bola sepak tanah air yang mendoakan kebahagiaan pasangan berkenaan.
Sebelum ini, kad undangan pernikahan pemain kebangsaan berusia 24 tahun itu yang tular di media sosial telah mencetuskan keterujaan dalam kalangan peminat bola sepak tempatan.
Arif yang kini dianggap antara tonggak utama skuad Harimau Malaya dan JDT terus menerima limpahan ucapan tahniah daripada peminat yang gembira melihat pemain muda itu memulakan fasa baharu dalam kehidupannya.
