MANA 10 RAKYAT MALAYSIA, TIADA KHABAR BERITA HAMPIR 30 JAM DITAHAN ISRAEL
Misteri nasib 10 rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) masih belum terungkai selepas lebih 30 jam mereka dilaporkan ditahan pihak Israel.
Sehingga jam 11 pagi tadi, tiada sebarang pengesahan rasmi mengenai keadaan terkini kesemua 186 aktivis antarabangsa yang dipercayai dipintas ketika berada di perairan antarabangsa. Mereka sebelum itu dalam perjalanan membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Sumber memaklumkan, kesemua peserta terbabit menaiki lima kapal berasingan, namun sehingga kini belum ada petunjuk bahawa mana-mana daripada rakyat Malaysia tersebut telah dibebaskan.
Antara yang terlibat ialah Zainal Rashid Ahmad yang juga pengasas ZRA Strim, selain Mohd Hanafi Mohd Salim, Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman, Norhelmi Ab Ghani dan Hazwan Hazim Dermawan. Mereka merupakan sebahagian daripada kumpulan yang menyertai misi tersebut bagi menyalurkan bantuan kepada rakyat Palestin.
Insiden ini disahkan oleh Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC) yang menyatakan kesemua peserta terputus hubungan pada hari ke-18 pelayaran.
Difahamkan, daripada keseluruhan 63 kapal yang menyertai misi itu, sebanyak 22 buah telah dipintas oleh pihak berkuasa Israel berhampiran kawasan Laut Mediterranean, khususnya di sekitar Kepulauan Crete, Greece.
Dalam perkembangan berkaitan, seorang doktor dari Malaysia, Dr Jihan Alya, turut dilaporkan antara yang ditahan. Beliau merupakan satu-satunya wanita Malaysia dalam misi tersebut dan berkhidmat sebagai pakar perubatan kecemasan di Hospital Tawau. Dr Jihan juga merupakan graduan dari National University of Ireland.
Selain itu, Ahmad Musa dikenali sebagai pengasas NGO Cinta Salam Malaysia yang aktif dalam kerja-kerja kebajikan pelarian, manakala Hazwan Hazim pula merupakan seorang jurumudi berpengalaman serta atlet layar di peringkat antarabangsa. Kapal yang dinaiki mereka dikendalikan oleh kapten berpengalaman lebih 15 tahun dalam industri maritim.
Setakat ini, usaha mendapatkan maklumat lanjut masih giat dijalankan, namun perkembangan rasmi daripada pihak berkuasa antarabangsa mahupun Israel masih dinantikan.
Doakan keselamatan mereka.
