Kapal perang Amerika hampiri Selat Melaka
SINGAPURA — Sebuah kapal perang Amerika Syarikat, USS Tripoli dilaporkan menghampiri perairan berhampiran Selat Melaka ketika dalam perjalanan menuju ke Asia Barat.
Menurut data penjejakan maritim, kapal serangan amfibia itu dikesan berada berhampiran Singapura, di hujung barat daya Laut China Selatan.
Kapal berkenaan dipercayai membawa anggota tambahan Marin Amerika Syarikat sebagai sebahagian daripada penempatan ketenteraan susulan konflik yang semakin memuncak di Asia Barat.
USS Tripoli, yang berpangkalan di Jepun, merupakan kapal besar sepanjang hampir 260 meter dan mampu membawa pesawat tempur serta aset ketenteraan lain bagi operasi amfibia.
Kehadirannya di laluan perairan sibuk seperti Selat Melaka dilihat sebagai sebahagian daripada pergerakan strategik menuju kawasan konflik.
