Empat Undang Tarik Balik Semakan Kehakiman Berkait Kedudukan Tuanku Muhriz
KUALA LUMPUR – Permohonan yang sebelum ini dibawa ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berkaitan kedudukan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan akhirnya tidak diteruskan.
Empat Undang menarik balik permohonan semakan kehakiman yang antara lain memohon supaya Menteri Besar Negeri Sembilan menandatangani proklamasi berkaitan penyingkiran Tuanku Muhriz.
Penarikan itu dibuat selepas dimaklumkan bahawa Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim, telah menandatangani Proklamasi Penurunan Takhta bertarikh 3 Ogos lalu.
Dengan dokumen berkenaan sudah ditandatangani, pihak pemohon berpandangan permohonan untuk memaksa Menteri Besar berbuat demikian tidak lagi mempunyai keperluan.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang dipengerusikan Hakim Norliza Othman kemudian merekodkan penarikan balik tersebut. Permohonan itu turut ditarik balik tanpa kebenaran untuk difailkan semula.
Empat Undang terbabit ialah Undang Luak Sungai Ujong, Datuk Mubarak Thahak; Undang Luak Jelebu, Datuk Maarof Mat Rashad; Undang Luak Johol, Datuk Muhammed Abdullah dan Undang Luak Rembau, Datuk Abdul Rahim Yasin.
Dalam permohonan sebelum ini, mereka turut memohon supaya Tunku Nadzaruddin Tuanku Jaafar diiktiraf melalui satu lagi proklamasi sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12.
Perkembangan ini bagaimanapun tidak menamatkan keseluruhan pertikaian berkaitan isu berkenaan, kerana terdapat prosiding lain yang masih berjalan di Mahkamah Tinggi Seremban.
Sumber : Berita Harian
Foto : Astro AWANI
