ISU TERKINI · POLITIK · HIBURAN · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK · HIBURAN · SANTAI

Malaysia

5,681 Kes Buli Dilapor Dalam 8 Bulan, PM Tegas Jangan Sorok Demi Jaga Imej Sekolah

KUALA LUMPUR: Sebanyak 5,681 kes buli dilaporkan berlaku di sekolah seluruh negara dalam tempoh Januari hingga Ogos 2026, melibatkan antaranya buli fizikal, lisan, bukan lisan dan buli siber.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata jumlah sebenar berkemungkinan lebih tinggi sekiranya mengambil kira kes yang tidak dilaporkan oleh pihak sekolah.

Beliau menegaskan masalah buli dan penderaan tidak seharusnya disembunyikan hanya kerana mahu menjaga nama baik, prestasi atau reputasi sesebuah institusi pendidikan.

Menurut Anwar, tindakan menutup masalah boleh menyebabkan murid terus menjadi mangsa tekanan dan penderaan, sedangkan kes berkenaan sepatutnya ditangani pada peringkat awal.

Beliau berkata tindakan segera dan tegas perlu diambil tanpa mengira alasan apabila membabitkan keselamatan serta kesejahteraan murid.

Kenyataan itu dibuat ketika Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, pada Selasa.

Dalam usaha meningkatkan keselamatan sekolah, kerajaan sudah melaksanakan beberapa langkah termasuk menyediakan RM3 juta bagi pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di sekolah dan RM5 juta untuk sekolah berasrama penuh.

Bagi tahun hadapan pula, tambahan RM15 juta akan diperuntukkan melibatkan kira-kira 1,000 sekolah.

Kerajaan turut menyediakan 5,107 jawatan Guru Bimbingan dan Kaunseling, selain melantik 300 pembantu warden asrama menerusi program MySTEP.

Seramai 400 warden pula diberikan latihan berkaitan kemahiran serta sokongan psikososial bagi meningkatkan keupayaan mereka mengendalikan isu melibatkan pelajar.

Pada masa sama, Polis Diraja Malaysia (PDRM) diberikan kebenaran memasuki sekolah secara rasmi apabila diperlukan, manakala kuasa berkaitan disiplin turut diperkasakan bagi membolehkan pihak pengurusan sekolah serta guru mengambil tindakan yang sewajarnya.

Antara langkah lain yang sedang diperkukuh ialah Sistem Disiplin Murid, advokasi suara murid, Polisi Perlindungan Murid Sekolah dan Saringan Minda Sihat bagi mengenal pasti masalah yang boleh menjejaskan kesejahteraan mental pelajar lebih awal.

Anwar turut menekankan bahawa usaha menangani buli bukan hanya terletak pada sekolah dan guru, sebaliknya memerlukan penglibatan lebih aktif daripada ibu bapa serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Beliau berkata pendidikan tidak seharusnya tertumpu kepada pencapaian akademik semata-mata, sebaliknya perlu bergerak seiring dengan pembentukan akhlak, adab dan nilai kemanusiaan dalam kalangan pelajar.

Angka 5,681 kes itu merupakan jumlah kes yang dilaporkan, justeru ia tidak semestinya menggambarkan keseluruhan kejadian buli yang berlaku di sekolah sepanjang tempoh berkenaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *