JPN Keluarkan MyKad Generasi Baharu Bermula Esok
KUALA LUMPUR – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan mula mengeluarkan MyKad generasi baharu yang dilengkapi 53 ciri keselamatan berbanding 23 sebelum ini, bermula esok.
JPN menerusi hantaran di media sosial berkata MyKad generasi baharu itu merupakan evolusi identiti nasional yang seiring dengan perkembangan teknologi dan perubahan zaman.
Menurut jabatan itu, sebanyak 40 cawangan JPN yang dilengkapi pusat cetak di seluruh negara bersedia mengeluarkan MyKad berkenaan dengan tempoh siap pada hari yang sama.
“Selepas lebih dua dekad, kini tiba masanya untuk satu generasi baharu mengambil tempat membawa pembaharuan pada reka bentuk, struktur dan ciri keselamatan MyKad,” katanya dalam hantaran hari ini.
Antara penambahbaikan diperkenalkan ialah penggunaan kod QR bagi tujuan pengesahan dan penguatkuasaan, teknologi hologram, teks mikro, ciri keselamatan ultraungu, turihan laser serta cip dengan tahap enkripsi lebih tinggi.
MyKad generasi baharu itu dijangka meningkatkan keupayaan pengesahan identiti, selain mengurangkan risiko pemalsuan dan penyalahgunaan dokumen pengenalan diri.
Sebelum ini, media melaporkan pelaksanaan MyKad baharu akan dimulakan di Ibu Pejabat JPN di Putrajaya serta 18 pejabat JPN terpilih menerusi sistem janji temu sebelum diperluas secara berperingkat ke seluruh negara.
Pendekatan berfasa itu bertujuan memastikan pelaksanaan berjalan lancar dan teratur, selain mengelakkan kesesakan di kaunter.
Sehubungan itu, JPN menasihati orang ramai supaya tidak tergesa-gesa menukar MyKad masing-masing kerana pelaksanaan dilakukan secara berperingkat dan tidak membabitkan pertukaran secara serentak.
