MB Negeri Sembilan Dakwa Dipaksa Tandatangan Dokumen Proklamasi
SEREMBAN – Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim mendakwa beliau dipaksa menandatangani surat cara proklamasi pemecatan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Beliau berkata laporan polis berhubung perkara itu telah dibuat pada kira-kira 6 petang semalam bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan pihak berkuasa.
Ismail berkata dokumen berkenaan ditandatangani tanpa kerelaannya dan dalam keadaan paksaan (duress).
“Merujuk kepada isu dokumen Surat Cara Proklamasi yang tular dalam kenyataan media pada malam 8 September 2026, saya ingin menjelaskan bahawa surat cara tersebut telah saya tandatangani tanpa rela hati dan secara paksaan (duress).
“Saya telah membuat laporan polis sekitar jam 6 petang pada 8 September bagi membolehkan siasatan dijalankan oleh pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kerajaan negeri berpendirian bahawa surat cara berkenaan tidak memenuhi proses dan tatacara yang diperuntukkan di bawah Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Sehubungan itu, Ismail menegaskan dokumen berkenaan adalah tidak sah, tidak berperlembagaan dan tidak boleh dikuatkuasakan.
“Dalam masa yang sama, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan Bilangan 5 Tahun 2026 yang bersidang pada 8 September juga antara lain membincangkan penubuhan sebuah jawatankuasa pendamai sebagai wadah untuk mencari penyelesaian isu adat secara harmoni, berhemah dan berlandaskan semangat muafakat,” katanya.
Beliau berkata kerajaan negeri turut merujuk Perkara 71 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan Persekutuan menjamin hak dan kedudukan Raja di sisi Perlembagaan serta mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan kemuliaan dan kedudukan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan terus terpelihara.
Ismail turut menzahirkan sokongan penuh dan taat setia tidak berbelah bahagi kepada Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang sah dan berdaulat.
Sebelum ini, media melaporkan krisis istana di Negeri Sembilan dijangka semakin meruncing selepas Undang Yang Empat, termasuk seorang Undang yang kedudukannya dipertikaikan, menunjukkan dokumen yang didakwa sebagai proklamasi pemecatan Tuanku Muhriz dan dikatakan telah ditandatangani oleh Ismail.
Dokumen itu dikongsi kepada pemberita dalam sidang media di Galeri Diraja Tuanku Ja’afar di sini pada malam Selasa.
Sidang media yang bermula kira-kira 10.45 malam itu dihadiri Datuk Maarof Mat Rashad, Abdul Rahim Yassin serta Undang Luak Johol, Dato’ Johan Pahlawan Lela Perkasa Sitiawan Datuk Muhammed Abdullah.
