Ibu Dakwa Anak 11 Tahun Diliwat Lebih 5 Pelajar Tahfiz
KUALA LANGAT – Polis akan memanggil seorang ibu bagi mendapatkan penjelasan berhubung dakwaan anak lelakinya berusia 11 tahun diliwat lebih lima pelajar di sebuah sekolah tahfiz di Banting.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Mohd Akmalrizal Radzi berkata pihaknya akan mendapatkan keterangan wanita berkenaan susulan video mengenai dakwaan itu yang tular di media sosial.
“Menerusi video berkenaan, kita akan panggil ibu mangsa untuk mendapatkan penjelasan berkaitan dakwaan yang dibuat,” katanya ketika dihubungi.
Sebelum ini, seorang pempengaruh media sosial, Caprice, memuat naik video berdurasi kira-kira seminit selepas menerima rakaman itu daripada seorang wanita yang mendakwa dirinya ibu kepada mangsa.
Menerusi video berkenaan, wanita itu mendakwa anaknya memberitahu bahawa dia telah diliwat oleh lebih lima pelajar di sekolah tahfiz terbabit.
“Saya seorang ibu, saya menghantar anak saya berumur 11 tahun ke sebuah tahfiz di Banting.
“Saya dapat tahu daripada anak saya yang dia telah diliwat oleh lebih daripada lima orang pelajar di sekolah tahfiz tersebut,” katanya.
Wanita berkenaan turut mendakwa pihaknya ketika ini masih kekurangan bukti dan saksi berkaitan kejadian itu.
Beliau turut merayu kepada ibu bapa yang pernah menghantar anak ke tahfiz berkenaan sepanjang tempoh 2024 hingga 2026 supaya mendapatkan maklumat daripada anak masing-masing sekiranya pernah mengalami kejadian sama atau gangguan seksual oleh pelajar di institusi terbabit.
“Jika ada, saya mohon sila tampil ke hadapan dan hubungi kami,” katanya.
Video berkenaan kemudiannya tular di media sosial dan mendapat perhatian orang ramai.
Polis kini dijangka mendapatkan maklumat lanjut daripada wanita berkenaan bagi menentukan tindakan serta siasatan lanjut berhubung dakwaan tersebut.
