ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

Malaysia

Malaysia-Macau Mahu Perluas Kerjasama Dalam Ekonomi, Pelancongan Halal

PETALING JAYA – Malaysia dan Macau berhasrat memperkukuh hubungan dua hala khususnya dalam bidang perdagangan dan pelaburan, kewangan, sains dan teknologi, pendidikan serta industri konvensyen dan pameran.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu dibincangkan ketika menerima kunjungan Ketua Eksekutif Wilayah Pentadbiran Khas Macau (SAR), Sam Hou Fai yang melakukan lawatan sulung ke Malaysia sejak memegang jawatan pada Disember 2024.

Beliau berkata pertemuan itu turut membuka ruang kepada kedua-dua pihak untuk memperluas kerjasama ekonomi secara lebih praktikal dan saling menguntungkan.

“Saya juga menyambut baik pemeteraian beberapa perjanjian perniagaan antara syarikat Malaysia dan Macau semalam, dan berharap kesepakatan ini akan menjadi pemacu kepada kerjasama ekonomi yang lebih erat dan luas antara kedua-dua pihak.

“Saya percaya kedudukan strategik Macau dan Hengqin yang terhubung dengan Greater Bay Area dapat dimanfaatkan untuk membuka lebih banyak peluang kepada syarikat Malaysia,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Anwar berkata Malaysia pada masa sama berpotensi memperkukuh peranannya sebagai gerbang kepada syarikat Macau untuk meneroka pasaran ASEAN.

Menurut beliau, kedua-dua pihak turut membincangkan usaha memperluas hubungan rakyat dengan rakyat menerusi bidang pendidikan dan pelancongan.

“Ini termasuk potensi kerjasama dalam sektor pelancongan halal dan mesra Muslim bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Malaysia bersedia menterjemahkan hubungan yang semakin erat ini kepada kerjasama yang praktikal, bermakna dan saling menguntungkan selaras dengan semangat Perkongsian Strategik Komprehensif Malaysia-China,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *