Super El Nino: Kuala Lumpur Antara Kota Paling Terkesan
LONDON – Beberapa bandar utama di Asia, termasuk Kuala Lumpur, berisiko mengalami kemarau berpanjangan, manakala bandar lain mungkin berdepan banjir susulan perkembangan fenomena cuaca El Nino kuat atau ‘Super El Nino’ yang dijangka memuncak pada penghujung tahun ini.
Menurut analisis yang diterbitkan oleh WaterAid dan dijalankan penyelidik dari Universiti Bristol serta Universiti Cardiff, semakin kuat fenomena El Nino, semakin tinggi kemungkinan corak taburan hujan menyimpang daripada paras normal.
Kajian itu menganalisis data taburan hujan selama 44 tahun di 12 bandar di Asia Selatan dan Asia Tenggara serta membandingkannya dengan kekuatan peristiwa El Nino yang pernah berlaku sebelum ini.
Dapatan kajian menunjukkan kesan fenomena itu berbeza mengikut lokasi, dengan sesetengah bandar berisiko mengalami keadaan lebih kering manakala kawasan berhampiran pula boleh menerima taburan hujan lebih tinggi dan berdepan ancaman banjir.
Jakarta dan Surabaya di Indonesia, Phnom Penh di Kemboja, Bangkok di Thailand, Kuala Lumpur serta Mumbai di India didapati cenderung mengalami keadaan lebih kering apabila El Nino semakin kuat.
Sebaliknya, Shanghai dan Hangzhou di China serta Colombo di Sri Lanka menunjukkan kecenderungan mengalami keadaan lebih basah secara konsisten.
Faisalabad dan Karachi di Pakistan serta Dhaka di Bangladesh pula berada dalam kategori lebih tidak menentu kerana pernah mengalami perubahan ke arah kemarau atau banjir bergantung kepada kekuatan fenomena berkenaan.
Keadaan itu, menurut penyelidik, menjadikan perancangan serta persediaan pengurusan risiko lebih mencabar bagi bandar terbabit.
El Nino berlaku apabila suhu permukaan laut di kawasan tertentu Lautan Pasifik meningkat melebihi paras normal, sekali gus mempengaruhi pergerakan kelembapan dan corak cuaca di pelbagai kawasan dunia.
Fenomena itu boleh menyebabkan sesetengah kawasan mengalami kemarau, manakala kawasan lain menerima hujan luar biasa sehingga meningkatkan risiko banjir.
Apa yang menjadi perhatian penyelidik ialah kekuatan fenomena El Nino yang dijangka berlaku kali ini, dengan peningkatan suhu permukaan laut diunjurkan mencecah sehingga 3.6 darjah Celsius melebihi paras normal.
Angka itu jauh lebih tinggi berbanding rekod bulanan sekitar 2.75 darjah Celsius yang dicatatkan ketika fenomena El Nino kuat pada 2015 dan 2016.
Penyelidik berkata skala fenomena yang dijangka berlaku itu menyebabkan terdapat ketidakpastian mengenai magnitud sebenar kesannya kerana tiada peristiwa terdahulu yang benar-benar setanding untuk dijadikan rujukan.
Namun, mereka berkata analisis yang dilakukan memberikan gambaran lebih jelas mengenai arah kesan fenomena itu, dengan kawasan yang lazimnya terdedah kepada kemarau berkemungkinan mengalami keadaan lebih kering, manakala kawasan yang sering dilanda banjir pula berisiko menerima hujan lebih lebat.
Sementara itu, Profesor Universiti Cardiff dan antara penyelidik utama kajian berkenaan, Michael Singer berkata fenomena El Nino yang sangat kuat boleh menyebabkan perbezaan suhu permukaan laut menjadi lebih ekstrem, sekali gus mempengaruhi pergerakan kelembapan di seluruh dunia.
Beliau berkata keadaan itu berpotensi meningkatkan risiko banjir di sesetengah kawasan, selain menyebabkan kebarangkalian kemarau yang lebih tinggi di kawasan lain.
