ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

Malaysia

MCMC Perlu 45 Minit Proses Setiap Permohonan Turunkan Kandungan Scam

PUTRAJAYA – Setiap permohonan untuk menurunkan kandungan penipuan dalam talian atau scam mengambil masa antara 30 hingga 45 minit untuk diproses oleh petugas Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), sekali gus menggambarkan cabaran besar dalam usaha membanteras jenayah siber yang semakin berleluasa.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata kerajaan telah mewartakan dua kod baharu, iaitu Child Protection Code (CPC) dan Risk Mitigation Code (RMC), yang perlu dipatuhi oleh platform media sosial bagi mengawal kandungan berbahaya termasuk penipuan dalam talian, perjudian serta eksploitasi kanak-kanak dengan lebih berkesan.

“Menerusi dua kod itu, platform-platform media sosial yang dikenal pasti diberikan tempoh beberapa bulan untuk mematuhi kedua-dua kod tersebut sebelum tindakan susulan diambil.

“Ini bagi mengelakkan kandungan yang memudaratkan serta boleh mengancam harta atau nyawa pengguna dalam platform masing-masing daripada terus dibenarkan,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Jemaah Menteri di sini hari ini.

Fahmi berkata setakat ini, sebanyak 127,568 kandungan berkaitan scam telah dikenal pasti dan diminta diturunkan, termasuk pengumuman palsu berkaitan bantuan kerajaan.

Antaranya ialah dakwaan mengenai tambahan bayaran Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang tidak pernah diumumkan oleh Kementerian Kewangan.

Beliau berkata jumlah kandungan scam itu mewakili 27 peratus daripada keseluruhan permohonan penurunan kandungan yang dikemukakan MCMC kepada platform media sosial.

“Sebanyak 53 peratus kandungan scam yang diminta diturunkan berada di Facebook, manakala 39 peratus di TikTok dan selebihnya di platform lain,” katanya.

Fahmi berkata Facebook dan TikTok kini antara platform utama yang digunakan sindiket untuk menyebarkan maklumat palsu serta menjalankan aktiviti penipuan terhadap orang ramai.

Sehubungan itu, beliau menggalakkan masyarakat supaya mendapatkan pengesahan melalui platform semakan fakta seperti Sebenarnya.my dan MyCheck, selain merujuk laporan media arus perdana sebelum mempercayai atau menyebarkan maklumat yang tular di media sosial.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *