3 Sekeluarga Maut Selepas Lori Imigresen Langgar Lampu Merah
KUALA LUMPUR – Tiga sekeluarga termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun maut selepas lori Jabatan Imigresen dipercayai melanggar lampu merah sebelum merempuh sebuah kereta dan melanggar pejalan kaki di persimpangan Jalan Sultan Ismail, awal pagi tadi.
Mangsa ialah seorang lelaki berusia 53 tahun dan dua anak perempuannya masing-masing berusia 25 dan 12 tahun yang meninggal dunia di lokasi kejadian dalam kemalangan kira-kira 1 pagi di persimpangan lampu isyarat Maju Junction.
Isteri mangsa, 55, yang juga ibu kepada dua mangsa perempuan berkenaan, cedera di kepala, tangan kanan serta kedua-dua kaki dan dikejarkan ke zon merah Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata kemalangan itu membabitkan lori Isuzu milik Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Proton Saga, Inokom Matrix dan empat pejalan kaki.
Beliau berkata siasatan awal mendapati lori Imigresen berkenaan dipandu lelaki berusia 43 tahun dari Pejabat Imigresen Kuala Lumpur menuju ke Chow Kit untuk mengambil tahanan selepas operasi terhadap pendatang tanpa dokumen di kawasan berkenaan.
“Suspek dalam perjalanan ke sana untuk mengambil tahanan selepas operasi terhadap pendatang tanpa dokumen di kawasan berkenaan.
“Lori itu dipercayai memasuki persimpangan ketika lampu isyarat bagi laluannya berwarna merah, dengan lampu beacon dan siren diaktifkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada masa sama, Proton Saga dipandu lelaki berusia 50 tahun sedang bergerak terus melalui persimpangan selepas lampu isyarat bagi laluannya bertukar hijau.
Mohd Zamzuri berkata pemandu Proton Saga dipercayai tidak sempat mengelak lori berkenaan sebelum berlaku pelanggaran di tengah persimpangan.
“Impak pelanggaran menyebabkan lori Imigresen hilang kawalan dan terbabas sebelum melanggar empat pejalan kaki yang semuanya adalah anggota keluarga sama.
“Lori itu turut melanggar sebuah Inokom Matrix yang dipandu lelaki berusia 38 tahun dan berhenti di persimpangan lampu isyarat,” katanya.
Beliau berkata ketiga-tiga pemandu terbabit tidak mengalami kecederaan.
Polis kemudian menahan pemandu lori Imigresen berusia 43 tahun dan pemandu Proton Saga berusia 50 tahun bagi membantu siasatan.
“Ujian pernafasan bagi mengesan alkohol dan saringan awal air kencing yang dijalankan terhadap kedua-dua pemandu mendapati keputusan negatif,” katanya.
Mohd Zamzuri berkata polis telah menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian serta mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) selain sedang mengesan saksi bebas.
“Kenderaan yang terbabit turut dibawa untuk pemeriksaan dan siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat pemanduan melulu atau berbahaya,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H S Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Beberapa video dan gambar kenderaan yang remuk dalam kemalangan berkenaan turut tular di media sosial.
